PEMAIN TRW kecewa dengan sikap  kurang profesional KAFA kerana  tidak menghormati syarat kontrak mereka.
PEMAIN TRW kecewa dengan sikap kurang profesional KAFA kerana tidak menghormati syarat kontrak mereka.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengharapkan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLPP) menggunakan budi bicara dengan tidak mengenakan hukuman pemotongan mata ke atas pasukan negeri itu sekiranya gagal mematuhi tempoh pembayaran tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berakhir hari ini.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya faham dengan syarat FMLPP yang mahu masalah tunggakan gaji dan caruman KWSP diselesaikan hari ini namun mereka sedang berdepan masalah kewangan agak kritikal.

Katanya, KAFA sudah menghantar surat rayuan untuk memohon penangguhan tetapi hingga kini mereka masih belum menerima maklum balas FMLPP.

“Wang RM2 juta yang diberikan Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa minggu lalu juga masih tidak dapat menampung masalah kewangan kami.

“Pada masa sama, pihak kami masih berusaha mencari sumber kewangan termasuk berhutang bagi menyelesaikan segera isu berkenaan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam mendedahkan enam pasukan - dua Liga Super dan empat Liga Perdana - berada dalam bahaya dan diberikan tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan caruman KWSP.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pasukan terbabit namun tidak menolak kemungkinan tindakan pemotongan mata akan diambil selepas tempoh itu berakhir.

Sumber terdekat KAFA memaklumkan, baki akaun terkini badan induk bola sepak negeri itu hanya ada RM400 dan difahamkan, ramai pemain belum menerima gaji yang sudah tertunggak dua bulan.

Jelasnya, beliau kesal kerana masalah sama terus berulang terhadap pasukan negeri itu sekalipun KAFA pernah memberi jaminan akan membayar gaji mengikut jadual dan kontrak.

Sementara itu, sumber rapat dengan The Red Warriors (TRW) berkata, semua pemain semakin kecewa dengan sikap kurang profesional KAFA yang langsung tidak menghormati syarat kontrak mereka.

Katanya, jika pemain didapati tidak mematuhi kontrak, mereka akan dikenakan tindakan tetapi lain pula halnya dengan KAFA yang suka bermain wayang serta seolah-olah kebal daripada sebarang teguran.

“Mana gaji pemain? Duit simpanan mereka (pemain) sudah habis digunakan untuk keperluan harian sedangkan gaji yang ditunggu, tidak masuk.

“Rata-rata pemain sudah mula merungut kerana berisiko dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank selepas gagal membayar pinjaman tertunggak.

“Bukan tidak mahu bayar tapi pemain buntu memikirkan masalah gaji yang sering menghantui mereka setiap kali hujung bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 9:15 AM