KOMEN 2 artis mengenai produk mengandungi bahan larangan.
KOMEN 2 artis mengenai produk mengandungi bahan larangan.
Michelle Gun


Lambakan produk makanan tambahan menjanjikan pelbagai kebaikan dan kesan segera di pasaran tempatan menjadi rebutan mereka yang mengidamkan fizikal menawan.

Bagaimanapun, ramai tidak menyedari bukan semua produk terbabit selamat digunakan kerana ada di antaranya mengandungi bahan larangan yang memudaratkan kesihatan. Terbaru, ujian makmal dilakukan dua universiti tempatan mendapati 10 jenama produk stevia tempatan adalah palsu dan mengandungi bahan kimia berbahaya.

Apa Kata minggu ini mendapatkan komen dua artis jelita mengenai pendapat mereka terhadap isu berkenaan.

ELFIRA LOY, PELAKON

“Saya bukan jenis yang gemar bergantung kepada makanan tambahan sebaliknya lebih cenderung mengamalkan gaya hidup sihat. Namun, saya pernah cuba beberapa produk untuk membuat ulasan di media sosial.

“Saya jenis yang teliti dan akan mencari maklumat mengenai produk itu sebelum bersetuju membuat ulasan atau menjadi duta.

“Selain itu, saya akan berjumpa dengan pengusaha produk terbabit dan meminta sijil kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“Ini kerana saya tahu ada banyak produk makanan tambahan meragukan di pasaran. Ada juga sesetengah produk mengambil masa yang panjang untuk nampak kesannya.

“Mengenai isu stevia palsu, saya difahamkan tumbuhan ini bagi mengawal pengambilan gula namun tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk mencubanya.

“Bagi saya, apabila ada produk menjanjikan kesan cepat pasti ada bahan kimia. Kaedah paling selamat untuk menjaga kecantikan diri adalah dengan bersenam dan makan makanan sihat,” katanya.

AZIRA SHAFINAZ, PENYANYI & PELAKON

“Saya sukar mempercayai kesahihan produk makanan tambahan yang dijual dalam talian, lebih-lebih lagi yang menjanji pelbagai kebaikan.

“Jadi, saya lebih selesa membeli di farmasi kerana boleh mendapat nasihat pakar. Setiap kali mahu membeli produk, saya pasti membaca kebaikannya dulu atau membaca ulasan pengguna di media sosial.

“Terdapat beberapa rakan yang gemar mengambil produk makanan tambahan kerana mahu cantik.

“Saya takut makan produk seperti ini kerana tidak tahu kesannya untuk jangka masa panjang. Bukan bermaksud produk terbabit tidak bagus, cuma pengguna perlu berhati-hati sebelum membeli.

“Bagi saya, cukup dengan hanya mengamalkan jus vitamin C dan mengambil makanan seimbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 2:38 AM