Seramai 14 individu yang dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen Johor Bahru, bagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.4 bilion sejak 2012.  - Foto ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Seramai 14 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, bagi tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.4 bilion sejak 2012. - Foto ZULKARNAIN AHMAD TAJUDDIN
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 14 individu, termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM1.4 bilion sejak 2012 hingga tahun lalu.

Mereka yang terdiri daripada pemilik tunggal syarikat, pengarah dan rakan kongsi, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim, membabitkan 646 pertuduhan.

Ter Leong Jenn, 40, menghadapi 285 pertuduhan; Arus Md Salleh, 28 (135 pertuduhan); Ahmad Shah Mohd Shafie, 36(126) dan Wong Shu Haw, 39, (68 pertuduhan).

Muhammad Azuwan Ismail, 22 (enam pertuduhan) dan Noor Suhaily Harun, 27 (lima pertuduhan).

Selain itu, Mohamed Ali Jinah, 54 dan Naina Mohammad Abd Kadar, 41 menghadapi empat pertuduhan, manakala Tajuddeen N Abdul Rahim, 69, Sutanto Sanarja, 49, dan Jihad Dudden Shaikh Alu Khan, 26, masin-masing menghadapi tiga pertuduhan.

Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23, pula menghadapi dua pertuduhan, manakala Luwi Poh Li, 39, dan Tan Kim Kee, 58, masing-masing pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara melupuskan, memiliki, menerima dan memindahkan wang haram bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara antara 2012 hingga 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 93, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Subseksyen 4 (1) AMLA iaitu dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Husmarudin Husin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM20,000 hingga RM3 juta seorang dengan syarat tambahan mengemukakan seorang atau dua penjamin warga tempatan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 7 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:23 PM