ANGGOTA APMM menahan dua bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara.
ANGGOTA APMM menahan dua bot nelayan Vietnam yang menangkap ikan di perairan negara.
Izlaily Nurul Ain Hussei


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 7 (DM7) Tanjung Sedili menahan dua bot nelayan Vietnam di kedudukan 28 batu nautika, timur laut Tanjung Sedili, Jumaat lalu, kerana disyaki menangkap ikan di perairan negara.

Pengarah APMM DM7 Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, dua bot terbabit dikesan ketika kapal ronda APMM menjalankan rondaan di perairan Johor Timur.

“Ketika kejadian, satu daripada bot nelayan asing itu cuba melarikan diri daripada diperiksa, namun berjaya ditahan pada jam 12.41 tengah hari dan sebuah lagi ditahan pada jam 1.30 tengah hari.

“Kedua-dua bot itu didapati membawa muatan kira-kira 10 tan pelbagai ikan dan 300 kilogram sotong kering,” katanya.

Amran berkata, bot nelayan asing dari Vietnam bernombor pendaftaran KG93438 TS dan KG94244 TS itu membawa 24 kru kapal termasuk tekong berusia antara 19 hingga 55 tahun ditahan dan ditunda ke Jeti APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:39 AM