BOMBA berjaya membawa keluar kanak-kanak terperangkap. FOTO ihsan Bomba
BOMBA berjaya membawa keluar kanak-kanak terperangkap. FOTO ihsan Bomba
Muhamad Izzat Nasuruden


Parit Buntar: Kanak-kanak perempuan terperangkap 20 minit dalam kereta bapanya di tempat letak kereta pasar raya di sini, 5.20 petang tadi, selepas pintu kereta berkenaan terkunci dari dalam.

Difahamkan, bapa kanak-kanak berusia empat tahun itu membawanya ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum kereta dinaiki dipercayai terkunci sendiri ketika bapanya keluar.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Abd Halim Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bapa mangsa pada 5.24 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati memang benar terdapat seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta berkenaan.

"Kita berjaya membuka pintu yang terkunci dari dalam menggunakan dawai dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 6:53 PM