ABDUL Aziz Yeop Jamaludin
ABDUL Aziz Yeop Jamaludin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Calon Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Abdul Aziz Yeop Jamaludin mengakui kemungkinan Kongres FAM Ke-53, Sabtu ini bakal menyaksikan kebangkitan semula beberapa tokoh tewas pada pemilihan 2014.

Katanya, meskipun peluang buat calon pemenang pada pemilihan ke-52 sebelum ini cerah namun beliau menyifatkan persaingan kali ini lebih sengit bagi semua jawatan dipertandingkan.

Beliau yang ketika ini memegang portfolio selaku Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Sukan FAM dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status FAM melabelkan individu berkenaan sebagai ‘pembunuh senyap’ yang mampu membuat kejutan pada hari undian nanti.

“Saya lihat persaingan tahun ini begitu sengit bagi semua jawatan dengan beberapa calon yang pernah tewas cuba kembali ataupun melakukan ‘come back’.

“Ini suatu perkembangan sihat dalam kalangan kami yang bertanding dan saya percaya kemungkinan berlakunya kejutan daripada calon ini.

“Saya anggap mereka seperti ‘pembunuh senyap’ yang mampu menang tanpa disangka dengan usaha baik dan cemerlang di peringkat negeri menjadi pencetus,” katanya, semalam.

Antara calon yang dilihat mencuba nasib selepas tumbang pada pemilihan tiga tahun lalu ialah calon Timbalan Presiden Datuk Seri Subahan Kamal (kini Presiden Persatuan Bolasepak Selangor), calon Naib Presiden Datuk Rosmadi Ismail (Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan) serta Datuk Astaman Abdul Aziz (bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM).

Jelasnya, beliau mengharapkan perjalanan pemilihan berjalan lancar dengan setiap calon membentangkan manifesto masing-masing tanpa memburukkan lawan mereka.

“Harapan saya pemilihan kali ini berlaku dalam suasana harmoni dan tidak cuba menjatuhkan imej orang lain serta kempen keterlaluan.

“Menang atau kalah, selepas pemilihan kita tetap akan bekerjasama. Jadi, penting untuk menjaga hubungan supaya kerjasama dapat diteruskan demi bola sepak negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 8:43 AM