ABDULLAH berkata proses saringan integriti yang dilakukan Unit Integriti FAM membabitkan PDRM dan SPRM. FOTO NSTP
ABDULLAH berkata proses saringan integriti yang dilakukan Unit Integriti FAM membabitkan PDRM dan SPRM. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilihan kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-57 boleh dilabel sebagai pemilihan paling 'senyap' apabila langsung tiadanya pertandingan membabitkan dua jawatan tertinggi badan induk itu.

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tampaknya sudah menemui pemenang apabila Datuk Hamidin Mohd Amin muncul satu-satunya calon tunggal yang dinamakan untuk terus memimpin FAM bagi penggal 2021-2025.

Kerusi Timbalan Presiden juga menyaksikan hanya dua nama dicalonkan iaitu penyandang sebelum ini, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram berjaya meraih kepercayaan ahli gabungan badan induk itu kali ini.

Bagaimanapun, perebutan empat slot dalam jawatan Naib Presiden dilihat agak sengit dengan lima tokoh bola sepak tempatan dicalonkan.

Begitupun daripada lima calon itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed dilihat calon hangat untuk memenangi salah satu kerusi terbabit.

Ia berdasarkan kepada kemampuannya melaksanakan agenda perubahan seperti program penswastaan membabitkan semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Jika 'buka laporan prestasi' di nilai oleh Presiden FAM, sudah pastinya Firdaus meraih gred 'A' berbanding empat pesaing lain untuk jawatan Naib Presiden itu.

Selain Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) itu, empat lagi calon adalah Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Posa Majais, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Datuk Seri Afandi Hamzah.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, mengumumkan senarai rasmi nama 27 orang calon yang layak bertanding untuk pemilihan yang akan berlangsung pada pada 13 Mac ini bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Katanya, menerusi proses saringan integriti yang dilakukan Unit Integriti FAM membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, mendapati 27 orang calon berkenaan lulus saringan itu

Dilampirkan bersama siaran media, senarai rasmi nama 27 orang calon yang layak bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 mengikut komposisi jawatan yang ditetapkan.

"Iaitu seorang Presiden, dua orang Timbalan Presiden, empat orang Naib Presiden dan 10 orang Ahli Jawatankuasa Eksekutif termasuk dua kerusi diperuntukkan untuk wanita," katanya.

Pada pemilihan sebelum ini, Hamidin menang tanpa bertanding sebagai presiden FAM pada 2018 selepas pengunduran Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang hanya sempat memimpin FAM selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 8:33 PM