AFP

Madrid: Pengurus Real Madrid Zinedine Zidane (gambar) menekankan tidak akan meminta pemainnya mengetepikan perlawanan persahabatan antarabangsa dan kembali awal ke ibu kota Sepanyol itu menjelang jadual padat untuk juara Eropah itu April depan.

Kemenangan 2-1 di Athletic Bilbao semalam melonjakkan pasukan bimbingan Zidane lima mata mendahului Barcelona di persada La Liga.

Bagaimanapun, Madrid akan berdepan aksi getir suku akhir Liga Juara-Juara apabila dijadualkan bertemu Bayern Munich selain tujuh perlawanan La Liga bulan depan, termasuk menentang Atletico Madrid dan Barcelona, apabila pemain kembali daripada rehat dua minggu aksi antarabangsa.

Tahun lalu, Madrid berupaya meyakinkan beberapa pasukan kebangsaan untuk melepaskan pemain seperti Gareth Bale, Luka Modric dan Toni Kroos untuk terlepas aksi persahabatan ketika rehat antarabangsa pada Mac.

Bagaimanapun Zidane berkata, beliau tidak akan mengulangi permintaan itu meskipun berdepan jadual padat.

“Saya tidak akan terbabit,” kata Zidane. “Pemain akan beraksi untuk pasukan kebangsaan. Saya akan berehat, mereka tidak, tapi tiada apa yang boleh mereka buat.

“Apabila mereka kembali daripada pasukan kebangsaan kami akan mempunyai sembilan perlawanan dalam tempoh 28 hari dan segala-galanya akan menjadi penting.

“Kami mempunyai 24 pemain dalam skuad dan saya pasti akan memerlukan semua orang tapi saya tidak merancang bercakap dengan sesiapa (pasukan kebangsaan) untuk melepaskan mereka.”

Dalam perlawanan semalam, pemain tengah Brazil Casemiro menjadi wira Madrid kerana menjaringkan gol kemenangan 22 minit sebelum tamat perlawanan selepas Aritz Aduriz memadamkan gol pembukaan Karim Benzema.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 7:58 AM