MORATA sekurang-kurangnya berehat enam minggu. FOTO/AFP
MORATA sekurang-kurangnya berehat enam minggu. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Masalah hamstring dialami penyerang Sepanyol dan Chelsea, Alvaro Morata mungkin menyaksikannya diketepikan buat beberapa minggu selepas ujian bersama pasukan kebangsaan mendedahkan dia mengalami koyak tahap dua.

Morata menjalani ujian MRI Ahad lalu selepas terhincut-hincut ketika kekalahan 0-1 Chelsea di laman sendiri kepada Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris, sehari sebelumnya.

Menurut laporan media Britain hari ini, kecederaan itu mungkin menyaksikannya berehat sekurang-kurangnya enam minggu.

Pengurus Sepanyol, Julian Lopetegui memanggil penyerang Athletic Bilbao berusia 36 tahun, Aritz Aduriz untuk menggantikan Morata semalam dengan penyerang Blues itu terlepas aksi kelayakan Piala Dunia 2018 Sepanyol menentang Albania dan Israel.

Sepanyol turut kehilangan khidmat dua pemain yang cedera Andres Iniesta dari Barcelona dan Dani Carvajal dari Real Madrid, digantikan oleh pemain Las Palmas, Jonathan Viera dan pemain Real Sociedad, Avaro Odriozola, ketika pendahulu Kumpulan G itu mengintai peluang layak ke pusingan akhir di Russia.

Sepanyol unggul tiga mata di depan pasukan tangga kedua Itali dengan hanya berbaki dua perlawanan.

Chelsea mengikat Morata dari Real Madrid ketika pramusim lalu dan penyerang itu sudah mula menyerlah di Stamford Bridge, dengan tujuh gol dalam sembilan penampilan buat skuad juara kendalian Antonio Conte itu.

Jika kebimbangan Morata disahkan, dia akan terlepas kedua-dua aksi peringkat kumpulan Chelsea dalam Liga Juara-Juara menentang AS Roma dan beberapa aksi Liga Perdana, termasuk pertembungan di laman sendiri menentang Manchester United pada 5 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 11:41 AM