ZIDANE sudah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada dua musim berturut-turut dan kini memiliki kelebihan untuk mara ke final buat kali ketiga apabila mendahului Bayern Munich 2-1 di separuh akhir pertama, minggu lalu. AFP
ZIDANE sudah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada dua musim berturut-turut dan kini memiliki kelebihan untuk mara ke final buat kali ketiga apabila mendahului Bayern Munich 2-1 di separuh akhir pertama, minggu lalu. AFP
AFP

MADRID: Zinedine Zidane sudah menjuarai dua gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut, namun beliau enggan mengakui gelaran ketiga akan menandakan era baru untuknya di Real Madrid.

Real menghampiri final ketiganya menjelang aksi timbal balik menentang Bayern Munich dalam kelompok empat terakhir awal pagi Rabu ini dan mereka membawa kelebihan 2-1 dan dua gol di tempat lawan ke Santiago Bernabeu.

Ia menjadikan mereka pasukan pilihan untuk mara dan muncul juara selepas menewaskan Paris Saint-Germain dan Juventus pada aksi kalah mati.

Bagi Zidane, gelaran Eropah ketiga sebagai jurulatih kini dalam jangkauannya, yang akan meletakkannya sebaris dengan Carlo Ancelotti dan Bob Paisley sebagai pengurus paling berjaya.

Bagaimanapun ketiga-tiga kejayaan Paisley hadir di kelab sama iaitu Liverpool pada era sama iaitu 1977, 1978 dan 1981. Trebel Ancelotti pula melangkaui 11 tahun dengan dua kelab iaitu Real dan AC Milan.

“Kita tidak boleh bercakap mengenainya,” kata Zidane. “Jurulatih seperti ini diberikan banyak masa dan banyak sudah mereka lakukan.

“Saya selesa, kami melakukannya dengan baik, dua setengah tahun yang lalu memang bagus tetapi yang lainnya, kita tunggu dahulu.”

Malah, Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Pep Guardiola menjulang gelaran tertinggi di Eropah itu sebanyak dua kali, kesemuanya dalam tempoh lama.

Namun, reputasi Zidane sebagai jurulatih dan pakar taktikal terus dipertikaikan, sekurang-kurangnya kerana jurulatih Perancis itu memiliki skuad paling berbakat di dunia dan Cristiano Ronaldo, pemain terbaik di Liga Juara-Juara.

Ronaldo yang mencetak 15 gol pada edisi kali ini sudah pasti menjadi kuncinya, namun Zidane mengambil tindakan berani mengetepikan Gareth Bale dan Karim Benzema di Allianz Arena menentang Bayern, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 11:07 AM