AZIZ M Osman (kanan) bersama Bell Ngasri
AZIZ M Osman (kanan) bersama Bell Ngasri
HM Digital

FILEM sentuhan terakhir Allahyarham Mamat Khalid, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali yang mendominasi carta nombor satu, Astro First minggu ini ditayangkan di pawagam pula bermula hari ini.

Filem yang disempurnakan arahannya oleh Amen Khalid yang juga anak Mamat itu ditayangkan di panggung wayang terpilih di seluruh negara untuk tempoh yang terhad.

Ia juga menyaksikan kali pertama selepas empat tahun siri filem Kampong Pisang Universe ditayangkan di panggung wayang selepas filem fenomena, Hantu Kak Limah.

Terdahulu, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali ditayangkan di saluran Astro First sejak 3 Mac lalu dan berjaya meraih kutipan RM1 juta dalam tempoh enam hari.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, sebagai penerbit, pihaknya merasakan karya sentuhan terakhir Allahyarham Mamat wajar dinikmati menerusi platform berbeza yang menawarkan perspektif tersendiri.

"Astro Shaw mengambil inisiatif dengan membawakan Kampong Pisang Berbuah Dua Kali ke pawagam. Ini memberikan peluang buat penonton untuk merasai kelainan dari sudut pengalaman sinematik. Kami mengharapkan usaha ini sedikit-sebanyak dapat memastikan karya ini terus dihargai dan tersemat di hati kita," katanya.

Raja Jastina berkata, pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada TGV Cinemas atas sokongan dan kerjasama menayangkan filem berkenaan di pawagam mereka.

AZMAN Mantra yang popular dengan video parodi membawakan watak Cik Gerhana berganding
AZMAN Mantra yang popular dengan video parodi membawakan watak Cik Gerhana berganding

"Rentetan daripada sambutan baik di Astro First, kami yakin tayangan filem komedi seram ini di panggung wayang tentu menambahkan lagi keterujaan penggemar filem serta mengubat rindu mereka yang sukakan 'feel' pawagam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargava berkata, karya-karya Allahyarham Mamat meninggalkan legasi besar buat industri perfileman dan filem-filem sentuhannya banyak memberi kesan serta meninggalkan gelak-tawa kepada penonton Malaysia meliputi semua peringkat umur dan bangsa.

"Sebagai tanda penghargaan buat legenda hebat ini, TGV Cinemas memainkan peranannya sebagai pempamer dengan menyediakan ruang buat filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali agar ia dapat dinikmati peminat dan penonton dengan sinematik berbeza," katanya.

Mohit berkata, pawagam terpilih yang akan menayangkan filem ini ialah TGV Bukit Tinggi, Klang; TGV Kinta City, Ipoh; TGV Bukit Mertajam, Pulau Pinang; TGV Tebrau City, Johor; TGV Mesra Mall, Terengganu; dan TGV Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Filem terbitan Astro Shaw dan kerjasama Enjit-Enjit Semut Sdn Bhd ini membariskan pelakon seperti Kazar Saisi sebagai Pak Din, Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Datin Paduka Eina Azman (Cik Mek), Azman Mantra (Cik Gerhana), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar) dan Anis Nisham (Yati).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 6:48 AM