FALCAO (kanan) masih berbisa.
FALCAO (kanan) masih berbisa.
Reuters

Paris: AS Monaco terhutang budi atas kejayaan mereka kebelakangan ini kepada pemain muda mereka tetapi apabila mereka menentang Manchester City dengan hasrat menebus defisit dua gol dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi esok, mereka terpaksa bergantung kepada pemain berpengalaman Radamel Falcao.

Penyerang Colombia, yang berdepan dua musim penuh kecederaan dalam Liga Perdana Inggeris, menghampiri aksi terbaiknya sejak kembali musim ini selepas dipinjamkan selama setahun di Chelsea.

“Musim ini, saya bermain secara konsisten. Kelab mempunyai keyakinan penuh terhadap saya, kakitangan dan rakan sepasukan membuat saya berasa penting,” kata Falcao, yang menjaringkan dua gol tetapi terlepas penalti penting ketika Monaco tewas 3-5 pada perlawanan pertama di Manchester.

“Dengan keyakinan, segala-galanya mudah. Saya tidak fikir pemain lupa bagaimana hendak bermain bola sepak. Saya hanya perlu peluang bermain dan terus bermain. Anda tidak akan lupa bagaimana untuk menjaringkan gol,” ujar Falcao.

Monaco, yang bersiap sedia untuk perlawanan itu dengan kemenangan 2-1 ke atas Bordeaux Sabtu lalu, perlu lebih fokus jika mahu mara ke peringkat seterusnya.

“Kami berada di tahap genting musim ini. Dalam Liga Juara-Juara, satu kesilapan dalam perlawanan akan membawa padah,” kata Falcao, yang menjaringkan 16 gol dalam Ligue 1 musim ini dan enam dalam Liga Juara-Juara.

“Kami perlu tingkatkan tahap tumpuan untuk menampung kekurangan pengalaman kami dalam pertandingan ini.”

Falcao, yang baru saja pulih daripada kecederaan pinggul dijangka diturunkan dalam formasi 4-4-2 bergandingan dengan pemain remaja berbakat Kylian Mbappe dan Bernardo Silva, seorang lagi bintang muda dalam skuad itu yang dijangka memberi mereka peluang menjaringkan gol.

Satu-satunya kebimbangan Monaco adalah ketiadaan pertahanan tengah Kamil Glick, yang digantikan oleh Jemerson.

City, yang sudah memanaskan badan dengan kemenangan Piala FA ke atas Middlesbrough 2-0 berjanji mengambil pendekatan menyerang di Stade Louis II.

“Kami tidak akan berubah,” kata pertahanan kanan Pablo Zabaleta.

“Inilah cara permainan kami hingga sekarang dan saya fikir satu kesilapan besar jika kami ke Monaco untuk bertahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 8:26 AM