VAN Huizen (tiga dari kiri) harap anak buahnya segera sesuaikan diri di Dhaka. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN.
VAN Huizen (tiga dari kiri) harap anak buahnya segera sesuaikan diri di Dhaka. FOTO/HASRIYASYAH SABUDIN.
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen berharap Dhaka, Bangladesh akan sekali lagi membawa tuah kepada barisan pemainnya menjelang saingan Piala Asia dari 11 hingga 22 Oktober ini selepas muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia, Mac lalu.

Jelas pengendali berusia 59 tahun itu, dengan pengalaman beraksi di sana, barisan pemainnya seharusnya mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan menterjemahkan aksi cemerlang ketika di padang sekali gus memenuhi sasaran untuk mara ke final.

Sebagai rekod, skuad negara belum pernah melangkah ke final Piala Asia dengan pencapaian terbaik meraih tempat ketiga pada 2007.

“Saya rasa pemain sudah biasa dengan padang di sana dan begitu juga dengan cuaca yang agak panas.

“Kami juga akan tinggal di hotel sama ketika pusingan kedua sebelum ini. Bermakna, pemain sudah biasa dengan makanan dan suasana sekeliling.

“Hotel juga tidaklah begitu jauh dengan stadium,” katanya.

Jelas Stephen, atas faktor itu skuad negara tidak pergi ke Dhaka terlalu awal, sebaliknya hanya akan berlepas Ahad ini.

“Memang tak dinafikan pengalaman beraksi di Dhaka akan memberi banyak manfaat kepada kami kali ini.

“Seramai 14 daripada 18 pemain yang terpilih untuk misi kali ini pernah beraksi di pusingan kedua, Mac lalu,” katanya.

Malaysia muncul juara pusingan kedua dengan menewaskan China menerusi penentuan penalti 5-3 untuk layak beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Jun lalu di London yang menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan keempat sekali gus layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 3:01 PM