SUBAHAN (kiri) mahu  skuad hoki negara atasi kelemahan pukulan sudut penalti.
SUBAHAN (kiri) mahu skuad hoki negara atasi kelemahan pukulan sudut penalti.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersedia membawa seorang pakar bagi memperbaiki kelemahan ketara barisan pemain negara dalam melakukan pukulan sudut penalti ketika Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh berakhir Ahad lalu.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal berkata, dengan hanya berbaki kira-kira empat bulan sebelum bermulanya Separuh Akhir Liga Hoki Dunia sama ada di London pada Jun atau Johannesburg (Julai), kelemahan itu perlu diatasi segera sekiranya Malaysian Tigers mahu mengimpikan tiket ke Piala Dunia 2018.

Jelas Subahan, kini beliau hanya menunggu laporan penuh daripada barisan kejurulatihan mengenai prestasi di Dhaka yang menyaksikan Malaysia muncul juara dengan menewaskan China sekali gus menempah tiket ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

“Saya akan ikut saja apa permintaan daripada ketua jurulatih (Stephen Van Huizen) dan Pengarah Teknikal (Terry Walsh).

“Setakat ini, tiada calon lagi. Sebab itu saya perlu mendapatkan laporan dan cadangan pasukan.

“Apa saja cadangan mereka kami akan setuju sebab tak ada masa lagi untuk membuat pertimbangan,” ujarnya.

Jelas Subahan, beliau mengakui berasa bimbang dengan kegagalan pemain negara menyempurnakan deretan pukulan sudut penalti ketika di Dhaka.

“Kelemahan pukulan sudut penalti perlu diperbaiki sebab dalam hoki moden, jika kita tak memanfaatkan peluang itu, maka risikonya sangat tinggi.

“Contoh antara India dan Malaysia tahap permainan lebih kurang sama saja.

“Tapi kelebihan India mereka dapat menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan baik berbanding Malaysia,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 6:26 AM