GABRIEL Jesus (kanan) jaring gol kedua City.
GABRIEL Jesus (kanan) jaring gol kedua City.

Middlesbrough: Manchester City kini berharap kepada tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri selepas melakukan apa yang terdaya untuk kekal dalam landasan memburu slot Liga Juara-Juara berikutan keputusan seri 2-2 dengan kelab bawahan Liga Perdana Inggeris Middlesbrough di tempat lawan.

Skuad Pep Guardiola dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip satu mata di Riverside, dan keputusan seri itu membantu mereka kekal di tangga keempat, slot kelayakan terakhir Liga Juara-Juara yang ditawarkan kepada kelab Inggeris, satu mata dan satu tangga mengatasi Manchester United.

Pengurus City Guardiola berhak dipersalahkan kerana aksi kurang meyakinkan di timur laut London apabila jurulatih kelahiran Sepanyol itu membuat pertukaran yang turut menyebabkan Leroy Sane dan Raheem Sterling berada di bangku simpanan hingga minit ke-50.

Ia satu tindakan berani yang diambil Guardiola dan hampir membawa padah kepada City yang kelihatan kurang berkesan akibat ketiadaan kedua-duanya apabila bergelut mencetus impak dan ketinggalan pada separuh masa kedua hasil jaringan bekas penyerang mereka Alvaro Negredo.

Rentak perlawanan bagaimanapun bertukar secara dramatik apabila pengadil Kevin Friend memberikan penalti berikutan kekasaran dilakukan Marten de Roon ke atas Sane, yang “jatuh dengan begitu mudah“, menurut pemangku pengurus Boro Steve Agnew.

De Roon, pemain tengah Belanda itu menjelaskan dengan lebih diplomatik. “Ia keputusan yang sukar dipercayai daripada pengadil,” katanya.

“Ia bukan satu penalti. Saya pergi ke arahnya tetapi saya tidak memijaknya. Saya berada di tempat yang sama.

“Ia memang bijak tetapi saya fikir seorang pengadil patut tahu sekiranya seseorang itu cukup bijak untuk melepaskan diri. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:06 PM