FITRI (kanan) turut catat nama sebagai penjaring.
FITRI (kanan) turut catat nama sebagai penjaring.

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara menepati ramalan mara ke final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia apabila membelasah Mesir 5-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhasani semalam.

Kemenangan itu turut memastikan Malaysian Tigers menempah slot secara automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu akan berdepan China hari ini selepas negara Asia Timur itu menumpaskan Oman 5-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Menurut ketua pasukan negara Sukri Abdul Mutalib, aksi separuh akhir semalam berjalan sempurna dengan semua bahagian - serangan, tengah dan pertahanan - mempamerkan permainan mantap dengan mengikut arahan jurulatih.

“Sebenarnya kesempurnaan ini bermula dari aksi suku akhir Khamis lalu dan semalam (kelmarin) kami sudah melakukan persiapan rapi termasuk melakukan analisa video untuk melihat corak permainan Mesir.

“Apa yang jurulatih peroleh daripada tontonan video itu disampaikan kepada kami,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Bagi perlawanan akhir bertemu China, Sukri berharap, semua pemain dapat mengekalkan momentum dan aksi konsisten seperti mana yang dilakukan semalam.

“Jika semuanya berjalan baik saya yakin kami juga akan mendapatkan keputusan yang baik. Paling penting percaya kepada diri sendiri,” katanya.

Dalam aksi semalam, Malaysian Tigers memecahkan kebuntuan pada minit ke-15 melalui pukulan sudut penalti Razie Rahim sebelum Fitri Saari melebarkan kelebihan, 10 minit kemudian.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menjadikan kedudukan 3-0 menerusi gol padang (m-30). padang.

Dua lagi gol Malaysia disumbangkan Shahril Saabah (m-44) dan Nik Aiman Nik Rozemi (m-49) dengan kedua-duanya melalui jaringan padang.

Malaysia dan China mengesahkan slot ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang akan berlangsung di London (Jun) dan Johennesburg (Julai) dan perlawanan hari ini adalah untuk menentukan siapa mampu meraih kejuaraan di Dhaka, Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:13 AM