PARK ketika tiba di kediaman peribadinya di selatan Seoul.  - AP
PARK ketika tiba di kediaman peribadinya di selatan Seoul. - AP
AP

Seoul: Bekas Presiden Park Geun-hye meninggalkan istana presiden semalam, dua hari selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu memecatnya berkait dengan skandal rasuah.

Siaran secara langsung televisyen negara itu menunjukkan beberapa kereta yang mengiringi Park meninggalkan Rumah Biru dan menuju ke kediaman peribadinya di selatan Seoul, tempat ratusan polis, wartawan dan penyokong berkumpul menanti ketibaannya.

Mahkamah Perlembagaan secara rasmi menyingkirkan Park daripada jawatannya, mengekalkan usul mendakwanya yang dibuat anggota Parlimen Disember lalu kerana disyaki terbabit dengan rakan karibnya dalam kegiatan rasuah.

Park menjadi presiden Korea Selatan selepas memenangi pilihan raya pada 2012 hasil sokongan golongan tua negara itu yang mengenang bapanya, bekas diktator Park Chung-hee sebagai wira.

Ratusan penyokongnya berkumpul berhampiran rumah persendiriannya sejak pagi. Mereka mengibarkan bendera dan menjulang gambar Park serta mendiang bapanya, menyanyi lagu kebangsaan dan melaungkan slogan mengecam keputusan mahkamah.

Pegawai kanan partinya juga hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 9:08 AM