PENYERANG Melaka Amri Yahyah (kiri) dan rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Hang Tuah, kelmarin.
PENYERANG Melaka Amri Yahyah (kiri) dan rakan sepasukan menjalani latihan di Stadium Hang Tuah, kelmarin.

Melaka: Melaka United akan melakukan beberapa perubahan formasi bagi menghadapi Pahang pada pusingan ketiga Piala FA di Kuantan malam ini.

Jurulatih Eric Williams berkata, perubahan berkenaan diperlukan bagi meningkatkan cengkaman di barisan pertahanan, tengah dan depan untuk memastikan gawang mereka tidak dibocori dan penggempur mampu bertindak mencipta jaringan.

Katanya, berdasarkan perlawanan liga ketika berdepan lawan sama di Melaka sebelum ini beliau melihat ada kelemahan yang perlu diperbaiki anak buahnya.

“Formasi kami kali ini sedikit berbeza berdasarkan perubahan pemain kerana kecederaan, namun asas perencanaan diharap mampu diterjemahkan dengan baik oleh pemain gantian.

“Kami amat pasti Pahang akan bertindak agresif untuk mengancam kubu, justeru pemain dinasihatkan fokus agar tidak melakukan kesilapan mudah sehingga boleh membawa padah.

“Apa yang meyakinkan, semangat tinggi pemain untuk mencipta kejayaan. Semangat perjuangan itu perlu ada pada setiap pemain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 5:56 AM