RANJIT (empat dari kiri) bersama ahli kumpulan eksekutif menunjukkan Laporan Tahunan SC 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
RANJIT (empat dari kiri) bersama ahli kumpulan eksekutif menunjukkan Laporan Tahunan SC 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM2.84 trilion dengan jumlah pengumpulan modal RM98.5 bilion pada tahun lalu meskipun dalam ketidaktentuan ekonomi global dan situasi turun naik yang memberi kesan kepada pasaran.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata, pencapaian itu jelas menunjukkan pasaran modal negara kekal kukuh dengan keadaan pasaran teratur hingga membolehkannya mencatat pertumbuhan dalam beberapa segmen pasaran.

Beliau berkata, pasaran modal Malaysia dijangka menunjukkan peningkatan positif disokong minat diperbaharui terhadap pasaran pesat membangun dan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) domestik yang mampan pada tahun ini.

“Kami menjangkakan pengumpulan dana lebih tinggi tahun ini dengan anggaran semasa bernilai antara RM102 kepada RM105 bilion manakala saiz pasaran modal akan meningkat kepada RM2.97 trilion,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau mengumumkan Laporan Tahunan 2016 SC.

Menurutnya, pasaran modal tahun lalu menyaksikan pasaran utama mengumpul RM86.7 bilion dengan penerbitan sukuk dan bon korporat RM85.7 bilion, penyenaraian ekuiti baru (RM1 bilion), pasaran sekunder (RM11.8 bilion), pasaran bon (RM1.17 bilion) manakala permodalan pasaran ekuiti sebanyak RM1.67 trilion.

Beliau berkata, SC komited melaksanakan agenda pembaharuan kawal selia bagi tempoh jangka panjang, sekali gus meningkatkan kecekapan dan kelonggaran kawal selia pasaran termasuk memperkenalkan proses kelulusan bagi dana unit amanah bukan kompleks.

Menurutnya, SC turut memberi fokus kepada usaha pengawasan dan pemantauan bagi mengukuhkan standard tatalaku pasaran yang tinggi dan memastikan firma terus meletakkan kepentingan pelabur sebagai teras perniagaan mereka.

Katanya, SC juga akan terus membangun dan memperkukuh kedudukan segmen pasaran utama dan sama mengukuhkan tatalaku dan tadbir urus pasaran pada tahun ini membabitkan beberapa inisiatif utama seperti Pengoperasian Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam.

Beliau berkata, SC akan melakukan Pengumuman Rangka Kerja Pengurusan Pelaburan Digital, pengenalan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang disemak semula dan penubuhan Institut Pengarah Korporat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:43 AM