RANJIT Ajit Singh
RANJIT Ajit Singh
Kamarulzaidi Kamis dan Che Wan Badrul Alias

Kuala Lumpur: Pembabitan pelabur asing dalam pasaran modal Malaysia amat stabil walaupun seluruh dunia khususnya pasaran sedang membangun, terjejas teruk berikutan ketidaktentuan ekonomi global sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Ranjit Ajit Singh berkata, tahun lalu menyaksikan penguasaan pelabur asing sekitar 23 peratus dalam pasaran ekuiti tempatan, 19.1 peratus dalam pasaran bon dan 47.9 peratus dalam Jumlah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

Katanya, walaupun ada sedikit penurunan, jika mengambil kira persekitaran ekonomi global dan kesan lebih teruk kepada negara luar, Malaysia masih memiliki pembabitan pelabur asing yang sihat dalam pasaran modal.

“Kita berjaya mempelbagaikan asas pelabur institusi dan runcit. Ini yang ingin kami benarkan berlaku di sini yang menyaksikan kepelbagaian peserta yang terbabit dalam pasaran.

“Banyak perkara yang menentukan keputusan pelabur asing seperti kualiti kawal seliaan pasaran, struktur pengawal seliaan, kemudahan dan standard pengurusan serta perlindungan industri, ini yang membezakan kita di mata pelabur.

“Malaysia menyediakan semua ini dan komited meningkatkan lagi kualiti bagi menarik lebih banyak pembabitan mereka di sini. Ini adalah perbezaan yang menentukan keputusan pelabur pasaran sedang membangun dan pelabur global,” katanya dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ranjit berkata, kewibawaan SC yang kukuh sehingga menarik keyakinan pelabur ketika ini adalah hasil daripada pengawalseliaan mantap, struktur kawal seliaan yang kukuh dan pasukan berkepakaran tinggi dalam bidang masing-masing.

Justeru, katanya, walaupun pasaran modal sentiasa bergerak tidak menentu dan mencabar, SC memiliki tenaga kerja yang mampu fokus terhadap isu tertentu dengan tepat, sekali gus mengurangkan tekanan kepada pegawai atasan untuk menyelesaikannya.

“Berdasarkan pandangan peribadi saya, SC memiliki pasukan berkepakaran tinggi yang komited dan berdedikasi terhadap dasar serta keinginan kuat untuk menjadikan pasaran serta perniagaan di negara ini lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pemilihan Kuala Lumpur sebagai hab Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) menjadi testimoni penting dunia terhadap kualiti kerangka kawal selia yang baik, infrastruktur pasaran kukuh dan standard tadbir urus mantap.

Ranjit berkata, IOSCO adalah organisasi kawal selia global dan badan penentu piawaian antarabangsa pengawal seliaan pasaran modal yang mewakili hampir 115 negara dengan pasaran keseluruhan bernilai AS$140 trilion.

Katanya, peranan pertubuhan itu adalah untuk mewujudkan kerjasama erat merentasi sempadan dan kepakaran dalam kalangan rakan pengawal selia domestik serta antarabangsa dalam membangunkan pasaran modal Asia Pasifik dan kapasitinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 7:15 AM