NAJIB melancarkan Hab Asia Pasifik pertama IOSCO di bangunan SC, Bukit Kiara, semalam.
NAJIB melancarkan Hab Asia Pasifik pertama IOSCO di bangunan SC, Bukit Kiara, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Pembukaan Hab Asia Pasifik pertama Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di Malaysia adalah bukti pengiktirafan kepemimpinan negara di peringkat global dalam mengukuhkan keupayaan kawal selia dan membangunkan pasaran modal di rantau ini.

Hab yang terletak di bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bukit Kiara, di sini, itu adalah pejabat pertama badan dunia berkenaan di luar ibu pejabatnya di Madrid, Sepanyol.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan bangga dengan pengiktirafan itu kerana pemilihan berkenaan mencerminkan kekuatan dan kualiti pasaran modal Malaysia serta kerangka pengawal seliaannya.

“Penubuhan hab IOSCO di Asia Pasifik juga tepat pada masanya kerana rantau ini adalah antara pemain utama dunia dan menyumbang kepada 30 peratus Keluaran Negara Kasar (GDP) global iaitu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 1980,” katanya pada pelancaran hab berkenaan sempena Persidangan Kawal Aturan Pasaran Pesat Membangun Global 2017 di ibu negara, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga IOSCO merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong Ashley Alder serta Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

Menurutnya, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menilai rangka kerja pengawal seliaan pasaran modal Malaysia mendapati ia mematuhi sepenuhnya Objektif IOSCO dan Prinsip Peraturan Sekuriti.

“Tahun lalu, pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM2.84 trilion dengan keseluruhan modal meningkat kepada RM98.5 bilion dan ketika ini, saiz pasaran modal meningkat kepada RM2.97 trilion dengan tahap tertinggi pengumpulan dana dijangka pada tahun ini.

“Pihak SC mempunyai rancangan berterusan bagi mengukuhkan kedudukan daripada segmen pasaran utama di samping mengukuhkan amalan pasaran dan tadbir urus,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah produktif dan progresif yang memberi manfaat besar kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 5:51 AM