PENAMPILAN Zach menarik perhatian pelajarnya.
PENAMPILAN Zach menarik perhatian pelajarnya.
ZACH memakai kostum ketika mengajar.
ZACH memakai kostum ketika mengajar.
ZACH tonjol identiti diri dengan berpakaian pelik di khalayak ramai.
ZACH tonjol identiti diri dengan berpakaian pelik di khalayak ramai.
Redzuan Muharam


Kebiasaannya, kostum hanya dipakai pada acara tertentu namun tidak bagi pensyarah City University, Zachariah Aidin Druckman, 27, yang memilihnya sebagai pakaian harian.

Lebih menarik, Zachariah atau lebih mesra dengan panggilan Zach tidak malu menggayakan pakaian itu di khalayak termasuk ketika menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja.

Zach berkata, tiada apa yang hendak dimalukan sebaliknya dia selesa dan percaya ia adalah sebahagian sifat keanak-anakan yang ada dalam dirinya.

“Minat memakai kostum ini timbul selepas bertemu seorang panel program di kampus yang menggayakan set pakaian tradisional lengkap dengan tanjak ketika itu.

“Meskipun ia bukan acara kebudayaan, dia yakin dengan penampilan sebegitu dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada saya untuk memakai kostum di khalayak.

“Pada awalnya, keluarga lebih-lebih lagi ibu membangkang minat saya namun mereka kini sudah biasa dan dapat menerimanya,” katanya yang kini menyambung pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) Pendidikan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

Bercerita lanjut, Zach berkata, selain keluar bersama rakan, dia turut memakai kostum itu ketika mengajar.

Menurut Zach, imej peliknya itu nyata menarik perhatian pelajar hingga mereka mempunyai keinginan untuk mengetahui kostum apa pula yang akan dipakai pada hari berikutnya.

“Sebahagian pelajar tahu imej saya kerana mendengar cerita daripada senior mereka.

“Namun, ada juga yang tidak tahu perkara itu dan terkejut dengan imej saya ketika hari pertama bertemu dalam kelas.

“Itu perkara biasa dan saya sudah lali apabila ada yang memandang dengan hairan atau sinis kerana kita sedia maklum pemakaian kostum bukanlah satu budaya di negara ini,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, disebabkan penampilan pelik, dia kerap disapa kanak-kanak yang mengajaknya untuk bergambar.

Katanya, dia tidak rimas sebaliknya seronok memenuhi permintaan golongan cilik itu.

“Saya dan rakan pernah membuat kerja gila memakai sut bersama kain pelekat ketika menaiki bas dari Shah Alam ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.

“Seperti biasa, ramai yang kehairanan namun paling melucukan apabila ada sekumpulan gadis menegur dan mengajak kami bergambar,” katanya.

Zach berkata, setakat ini, dia mempunyai 28 kostum yang dibeli dari portal beli-belah dalam talian dan kedai menjual pakaian berkenaan.

Menurutnya, antara kostum itu ialah daripada karakter Kakashi (Naruto), Megatron (Transformers) dan Captain America dibeli dengan harga antara RM70 hingga RM350.

“Saya gemar memakai kostum berlainan setiap hari dan akan kekal dengan imej ini untuk kepuasan diri.

“Memang nampak pelik tapi saya selesa dan turut memakainya ketika menyertai acara larian.

“Cuma, saya tetap akan menyesuaikannya dengan keadaan dan majlis dihadiri,” katanya yang turut menawarkan khidmat sebagai guru asas seni lakonan, tarian, senamrobik, pembimbing kemahiran pembentangan dan penceramah motivasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 5:02 AM