Redzuan Muharam


Suka menghiburkan orang terutama kanak-kanak menjadi sebab Salihin A Jalil aktif menyertai acara Anime, Game dan Cosplay (ACG) sejak empat tahun lalu.

Bukan setakat aktif, Salihin, 27, turut sanggup berhabis wang antara RM300 hingga RM400 bagi membeli sepasang kostum untuk menyertai acara berkenaan.

Bercerita lanjut, Salihin berkata, dia cenderung menyertai acara itu selepas terpengaruh dengan rakannya yang terlebih dulu turut serta.

“Saya mula mengambil bahagian dalam acara itu ketika menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

“Asalnya, penyertaan saya dalam acara itu sekadar untuk mencuba sesuatu yang baru tetapi ia kemudian menjadi hobi dan berterusan aktif sehingga kini,” katanya yang kini bekerja sebagai pengurus restoran di Singapura.

Salihin berkata, sebahagian peserta mahir menjahit sendiri kostum yang ingin dipakai namun dia lebih selesa menempah secara dalam talian atau membeli di kedai.

Menurut Salihin, walaupun kosnya agak mahal, dia sanggup berhabis wang malah sudah mengumpul empat kostum daripada pelbagai karakter anime.

“Saya bekerja dan tiada masa untuk menjahit kostum sendiri seperti rakan lain jadi membeli di kedai adalah jalan penyelesaiannya.

“Antara kostum yang terdapat dalam simpanan kini adalah daripada karakter Kamen Rider Drive, Mega Silver dan Uchika Sasuke.

“Manakala selebihnya sudah dijual kepada rakan dan mereka yang berminat memilikinya,” katanya.

Dalam pada itu, Salihin mengakui sudah lali menerima kritikan mereka yang kurang senang dengan minatnya terhadap hobi itu.

Salihin berkata, kritikan itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya yang memperoleh ramai kawan sejak turut serta.

“Kerana minat memakai kostum, ada yang menganggap saya seperti kebudak-budakan, tetapi saya tidak peduli dengan cemuhan atau pandangan sinis itu kerana puas melakukan hobi ini.

“Saya sendiri gembira kerana setiap kali ke acara itu, ramai kanak-kanak yang ingin mengambil gambar bersama dan ia sekali gus dapat menghiburkan mereka,” katanya.

Salihin berkata, selain mendapat kenalan baru, penyertaannya dalam acara itu turut memberinya peluang untuk mempelajari pengetahuan baru.

“Antaranya adalah teknik solekan muka dan cara dandanan rambut palsu yang penting bagi melengkapkan lagi gaya kita ketika memakai kostum sesuatu karakter.

“Di samping itu, saya turut menerima jemputan untuk membuat persembahan di sekolah dan akan hadir jika mempunyai masa lapang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 2:07 PM