FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Sarikei: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis selepas dikesan baru melakukan pecah rumah di Jalan Haruan, di sini, malam tadi.

Suspek berusia 36 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu kira-kira 5.30 pagi tadi kerana parah di kepala.

Sumber berkata, sebelum itu suspek dipercayai masuk sebuah rumah kira-kira 10 malam dan polis yang dimaklumkan kejadian segera ke lokasi untuk mengesannya.

Katanya, polis kemudian terserempak dengan suspek sebelum cuba menahannya namun beliau terus melarikan diri ke jalan utama kerana bimbang dicekup.

"Suspek kemudiannya terbabas di persimpangan lampu isyarat Jalan Nyelong dan dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan kecemasan sebelum di hantar ke Hospital Sibu memandangkan kecederaan untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan lanjut menemui telefon bimbit selain pelbagai peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar dan besi panjang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan pecah rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata suspek meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 5:04 PM