SUSPEK pertama berusia 22 tahun yang ditahan di Rumah Panjang Batu 16, Jalan Oya.
SUSPEK pertama berusia 22 tahun yang ditahan di Rumah Panjang Batu 16, Jalan Oya.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuching: Selepas tiga bulan diburu kerana terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga emas di Sibujaya, Sibu, tiga lelaki yang juga suspek utama kes berkenaan ditahan polis, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, semua suspek berusia 16 hingga 22 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Sibu dan Sarikei.

Menurutnya, suspek pertama berusia 22 tahun ditahan di Rumah Panjang Batu 16, Jalan Oya, kira-kira jam 1.55 pagi.

“Suspek kedua ditahan di Flat Sibu Jaya, kira-kira jam 1 tengahari, manakala suspek terakhir berusia 16 tahun ditahan pada jam 2.50 petang di Jalan Chung Hing Sarikei.

“Tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek dibuat anggota pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu hasil maklumat dan risikan rapi.

“Dengan penangkapan suspek, polis percaya kes pembunuhan warga emas berusia 65 tahun itu berjaya diselesaikan. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan penyiasat yang gigih melakukan siasatan sehingga tertangkapnya suspek,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, 13 Mac lalu, mangsa bersama isterinya berusia 64 tahun dalam sedang berjalan ke rumah mereka di Town Villa, Sibujaya, dipukul suspek yang cuba meragut beg tangan wanita terbabit.

Mangsa yang berjalan di hadapan menyedari jeritan isterinya sebelum berpatah balik untuk membantu, namun dia dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang kemudiannya melarikan beg tangan bersama sepasang subang bernilai RM400.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 6:19 AM