AFP

Manchester, England: Yaya Toure (gambar kanan) menegaskan bukan sesuatu yang mustahil buat Manchester City untuk mengatasi Chelsea dalam perebutan Liga Perdana musim ini kerana mereka pernah membuktikannya pada 2014.

Pemain tengah Ivory Coast berusia 33 tahun itu yang masih lagi berusaha menarik perhatian pengurus Pep Guardiola selepas pengendali itu bertelagah dengan ejennya awal musim ini bagaimanapun mengaku perbezaan 11 mata antara kedua-dua kelab bukan mudah untuk diatasi.

Kemenangan kelima berturut-turut ke atas Stoke hujung minggu lalu membuatkan Toure percaya mereka sudah berjaya memberi tekanan kepada Chelsea yang dibimbing Antonio Conte.

Dua gelaran liga yang mereka menangi menerusi kebangkitan pada lewat musim membayangkan City bukanlah calang-calang pasukan. Mereka memintas musuh setempat Manchester United sebelum bergelar juara 2012 dan perkara sama berlaku ke atas Liverpool pada 2014.

City mengekori Liverpool dengan sembilan mata sambil berbaki lima perlawanan - tidak termasuk dua perlawanan di tangan yang dimiliki kelab Merseyside itu - dan City muncul juara menerusi kelebihan dua mata.

“Kami hanya berharap. Liga Perdana musim ini semakin mendesak dan sukar,” kata Toure.

“Apabila anda melihat Chelsea bermain, mereka penuh yakin dan kuat. Kami mengharapkan mereka tercicir mata beberapa kali.

“Tapi mereka terus mencatat kemenangan dan tidak bermain di Eropah. Itulah kelebihan besar buat mereka.

“Namun kami harus percaya kepada diri sendiri kerana kami pernah melakukannya pada 2014. Kami berharap perkara sama akan berulang lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 7:54 AM