Anggota bomba memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba memecahkan mangkuk tandas bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut. - Foto Ihsan Bomba
Muhamad Izzat Nasuruden


Tanjung Malim: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit selama lebih 40 minit selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas di Tadika Al-Falah di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, kanak-kanak lima tahun itu dipercayai tergelincir ketika mandi dalam tandas berkenaan dan kaki kirinya termasuk ke dalam lubang tandas.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Pegawai Bomba Kanan 1 Zaini Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.05 tengah hari daripada guru tadika berkenaan.

Menurutnya, anggota memecahkan mangkuk tandas berkenaan selepas kaki kanak-kanak itu gagal dikeluarkan akibat bengkak.

"Bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas itu dan berjaya mengeluarkan kaki mangsa. Dia kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim untuk rawatan.

"Operasi ditamatkan jam 1.44 tengah hari," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 4:09 PM