ANGGOTA bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kajang : Kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terjatuh dan kakinya tersepit ke dalam lubang tandas di bilik air rumahnya di Bandar Rinching, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, dalam kejadian 11. 30 pagi itu, mangsa, Nurdania Qistina Anuar, 11, dikatakan terjatuh sebelum kaki kirinya tersepit di dalam lubang tandas.

Menurutnya, kerana tidak boleh dikeluarkan, ahli keluarga kemudiannya menghubungi bomba untuk bantuan mengeluarkan kaki mangsa.

"Sebaik menerima panggilan pada 11. 30 pagi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota pada mulanya cuba menarik keluar kaki mangsa namun tidak berjaya dan mereka terpaksa menggunakan peralatan menyelamat khas untuk memecahkan mangkuk tandas,” katanya.

Beliau berkata, mereka mengeluarkan kaki mangsa tanpa kecederaan malah ahli keluarga mangsa tidak mahu membawanya ke klinik untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, selepas memastikan keadaan benar-benar selamat, anggota bertolak balik ke balai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:48 PM