Lelaki tempatan ditahan ketika memunggah rokok seludup dari kereta ke kediamannya di Taman Mega, Simpang Renggam, semalam. FOTO IHSAN PGA
Lelaki tempatan ditahan ketika memunggah rokok seludup dari kereta ke kediamannya di Taman Mega, Simpang Renggam, semalam. FOTO IHSAN PGA
Omar Ahmad


Kluang: Seorang lelaki ditahan ketika sedang leka memunggah rokok seludup dari kereta ke rumahnya di Taman Mega, Simpang Renggam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tenghari itu, 2,390 karton rokok pelbagai jenama dan kereta Proton Wira dianggarkan bernilai RM460,000 dirampas.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan hasil maklumat awam dan pemantauan serta risikan hampir dua minggu.

"Semua rokok seludup dipercayai milik suspek malah dia juga dipercayai bertindak sebagai penghantar rokok kepada penjual. Suspek akan mengambil pesanan sebelum menghantar rokok terbabit kepada pelanggan sendiri.

"Dipercayai suspek dapat bekalan dari Kuala Lumpur untuk pasaran sekitar Simpang Renggam dan Kluang.

"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Kluang untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 2:44 PM