BERNAMA

Kuala Lumpur: Anak buah Stephen van Huizen menempah slot ke separuh akhir selepas menjinakkan Sri Lanka 5-2 pada perlawanan suku akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.

Menentang pasukan di ranking ke-41 dunia di Stadium Hoki Moulana Bhasani, skuad negara bermula baik apabila mendahului minit kesembilan hasil jaringan Muhamad Ramadan Rosli menerusi jaringan padang.

Namun berselang lima minit kemudian Sri Lanka berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti disempurnakan K Nalantha.

Tersentak dengan jaringan penyamaan Sri Lanka, barisan penyerang negara mula mengatur serangan yang berjaya menjaringkan tiga gol padang berturut-turut menerusi Tengku Ahmad Tajuddin (m18), Ramadan (m22) dan Aiman Nik Rosemi (m23).

Skuad kendalian Anrudda Bandara Herath berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-27 menerusi D Ishanka hasil pukulan sudut penalti manakala Rashid Baharom kembali menjarakkan kedudukan berselang dua minit kemudian untuk Malaysia mendahului 5-2 sebelum waktu rehat.

Bersambung babak ketiga dan keempat kedua-dua pasukan saling melancar gerakan untuk memburu gol namun tiada jaringan dihasilkan untuk kemenangan berpihak kepada Malaysia.

Untuk rekod Malaysia menang tiga perlawanan peringkat kumpulan bermula dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan tuan rumah, Bangladesh diikuti kemenangan ke atas Oman (6-1) dan Fiji (11-1).

Dua pasukan beraksi di pentas akhir layak ke Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia, yang bakal menjadi medan bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 2:01 PM