Mohd Rawi (enam dari kiri) diiringi Dr Zubir (tiga dari kanan) memaparkan sepanduk sebagai gimik perasmian Program Himpunan Usahawan dan Pelancaran Infaq Sedekah Jariah Sahabat AIM Cawangan Langkawi di MIEC, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Mohd Rawi (enam dari kiri) diiringi Dr Zubir (tiga dari kanan) memaparkan sepanduk sebagai gimik perasmian Program Himpunan Usahawan dan Pelancaran Infaq Sedekah Jariah Sahabat AIM Cawangan Langkawi di MIEC, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


KIRA-KIRA 98 peratus daripada lebih 350,000 penerima bantuan skim pembiayaan kredit mikro Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membuat pembayaran balik sejak skim itu diperkenalkan 30 tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif AIM Dr Zubir Harun berkata, sejak diperkenalkan pada 1987, AIM sudah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM18 bilion kepada golongan miskin.

“Daripada segi pembayaran balik, kita berada pada tahap baik iaitu sekitar 98.22 peratus, sekali gus menunjukkan peminjam komited membuat bayaran mengikut jadual.

“Sebahagian besar peminjam yang dikenali sahabat AIM ini mendapat pembiayaan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi mereka dengan pembiayaan serendah RM5,000 yang dilaksanakan secara berkumpulan,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Usahawan dan Pelancaran Infaq Sedekah Jariah Sahabat AIM cawangan Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Turut hadir Pegawai Daerah Langkawi Isahak Murat dan Ketua Pegawai Operasi AIM Zon Utara Mahadi Idris.

Zubir berkata, sehingga kini AIM mempunyai 136 cawangan di seluruh negara.

“Pendekatan AIM membangunkan golongan sasar adalah melalui proses memperkasa agar mereka boleh bersaing dalam arus pembangunan serta menggalakkan mereka berdikari dan berusaha gigih untuk berjaya.

“AIM menetapkan bayaran balik dibuat secara mingguan yang memerlukan peminjam berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan projek berjaya dan mereka dapat bayar balik pinjaman ikut jadual.

“Selain itu, AIM menerapkan elemen disiplin dalam pengurusan kewangan dan projek serta menggalakkan peminjam melaksanakan projek yang boleh menghasilkan pulangan jangka pendek dan cepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 1:07 PM