Nurul Hidayah Bahaudin


LAPAN lelaki ditahan selepas cuba memeras ugut dalam dua kejadian berasingan membabitkan seorang kontraktor dan pekerja sebuah pusat snuker menggunakan pistol di sekitar Seri Kembangan, Serdang kira-kira jam 3.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang kontraktor yang diugut suspek ketika sedang menurap jalan di Seri Kembangan, di sini.

“Mereka mengugut akan menembak mangsa sekiranya dia enggan membayar sejumlah wang. Bagaimanapun, suspek kemudian melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis peronda di kawasan berkenaan.

"Suspek kemudian pergi ke sebuah pusat snuker mengugut pekerja premis berkenaan agar memberikan sejumlah wang dengan meletakkan beberapa peluru di atas meja snuker sebelum melarikan diri," katanya.

Megat berkata, berdasarkan maklumat itu, pihaknya menahan lapan lelaki berusia 20 hingga 30 tahun dan merampas tiga kenderaan dalam serbuan dijalankan di sekitar daerah ini bermula jam 5 pagi tadi.

"Hasil serbuan itu, kami menemui pistol bersama lima peluru. Semakan rekod mendapati sebahagian suspek memiliki rekod jenayah lampau.

"Semua suspek direman selama seminggu bermula hari ini hingga 14 Jun nanti untuk membantu siasatan mengikut Sekyen 8 Akta Senjata Api 1970 dan Sekyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 4:59 PM