Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung, UiTM Shah Alam
Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung, UiTM Shah Alam
Nurul Sabrina Jamali


Shah Alam: Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) di bawah kolaborasi Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal akan menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung. 

Usaha ini sekali gus mampu memperkasakan penuntut KPSK, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.

Inisiatif ini juga selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (Daken) iaitu menetapkan hala tuju menjadikan Malaysia Negara Maju Rakyat Berbudaya bersandarkan elemen tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan. 

Ketua Pengajian Konservatori Muzik, Dr Juriani Jamaludin, berkata, konsert ini mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat penuntut KPSK.

"Ini kerana hasil dari gabungan ketiga-tiga pengajian ini adalah platform awal dałam mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan.

"Bukan itu sahaja, malah aktiviti ini turut menyumbang kepada kerancakan dan kepelbagaian acara dalam memartabatkan seni budaya tempatan," katanya.

Beliau juga berkata, projek sebegini menjadi satu ruang untuk penuntut terus bereksplorasi dan bereksperimentasi bagi memperlihatkan kesungguhan serta kerja keras hingga membuahkan hasil.

Mengulas lanjut mengenai konsert ini, Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung adalah persembahan pentas yang mengangkat budaya muzik dan tarian tradisional Melayu seperti Asli, Inang, Zapin, Joget, Caklempong, Gamelan dan Canggung. 

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah Bunga Tanjung (Asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (Inang), Umpan Jinak Di Air Tenang (Joget), Ala Canggung (Canggung), Merbau Caklempong, Perang (Gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.

Konsert ini bakal berlangsung pada 14 dan 15 Julai di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, bermula jam 8:30 hingga 10:30 malam. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 1:04 PM