Md Anizam menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran buku Sejarah SUK Kelantan. FOTO Faris Zainuldin
Md Anizam menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran buku Sejarah SUK Kelantan. FOTO Faris Zainuldin
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Seramai 5.8 juta pelancong domestik dan antarabangsa mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 (TMK 2016).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, jumlah kemasukan itu sudah dianggap realistik dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu walaupun gagal capai sasaran enam juta orang.

"Jumlah kemasukan pelancong ini mencapai 96 peratus daripada sasaran enam juta orang, malah ia lebih tinggi berbanding 5.1 juta pelancong pada tahun sebelumnya.

"Selepas ini, kerajaan negeri berharap jumlah kemasukan pelancong berada pada paras begitu dan akan terus mengekalkan serta menambah baik ciri-ciri pelancongan yang ada," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Dewan Gelanggang Seni di sini, hari ini.

Md Anizam berkata, keunikan warisan, seni budaya, makanan tradisional dan keindahan alam semulajadi menjadikan Kelantan tumpuan pelancong.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan terus berusaha mempromosikan pelancongan dengan kerjasama pemain industri negeri ini.

"Kemasukan ramai pelancong ini dapat merancak industri pelancongan negeri sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi kepada negeri.

"Saya harap pelancong luar negara dapat mengambil peluang daripada penurunan kadar tukaran nilai Ringgit Malaysia untuk mengunjungi negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2017 @ 5:21 PM