Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (tiga dari kanan) melawat gerai jualan di Festival Jom Makan Thai Food di Kota Bharu. - FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (tiga dari kanan) melawat gerai jualan di Festival Jom Makan Thai Food di Kota Bharu. - FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 100 usahawan Kelantan daripada pelbagai latar belakang produk makanan akan memasarkan produk halal mereka di Thailand selewat-lewatnya Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, sebelum ini perkara berkenaan sudah dirancang bersama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) untuk mempromosikan produk usahawan ke negara itu.

Katanya, menerusi perancangan berkenaan, kerajaan negeri akan mempromosikan produk mereka sekali gus orang ramai dan pembeli dapat mengenali barangan yang dihasilkan oleh usahawan dari Kelantan.

"Insha-Allah, kita mungkin akan mengadakan Festival Jom Makan Makanan Tradisional Kelantan sama ada di Hatyai, Songkla atau Yala yang mempunyai penerimaan tinggi terhadap produk-produk halal.

"Justeru, hubungan dua hala di antara Kelantan dan Thailand adalah penting dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan perdagangan melalui pelbagai program terutama membabitkan bidang perniagaan selain seni budaya serta warisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Jom Makan Thai Food yang turut dihadiri Timbalan Konsul Jeneral Konsulat Jeneral Diraja Thai, Marissa Indramangala di Mydin Mall, Tunjong, di sini, hari ini.

Festival anjuran bersama Konsulat Jeneral Diraja Thai di Kota Bharu, Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand (DITP Malaysia) dan Mydin itu diadakan selama empat hari bermula hari ini sehingga 7 Mei yang mempamerkan pelbagai makanan halal dari Thailand selain persembahan kebudayaan negara berkenaan.

Md Anizam berkata, melalui penganjuran festival berkenaan, pihaknya menjangkakan kira-kira 25,000 pengunjung akan hadir.

"Seramai 32 usahawan daripada Thailand menyertai festival ini yang menawarkan lebih 56 jenis produk dan makanan negara berkenaan," katanya.

Beliau berkata, festival yang dianjurkan itu juga secara tidak langsung menjadi platform bagi mempromosikan produk usahawan tempatan selain dapat membantu perkembangan perniagaan mereka.

"Pada masa sama, kita juga mahu mewujudkan akses pasaran produk dan seterusnya meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran produk selain meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.

"Selain itu, ia juga dapat membantu usahawan kita untuk mempelajari cara pembuatan produk dan penyediaan perkhidmatan serta pembungkusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 3:10 PM