Mohd Husni Mohd Noor


Cyberjaya: Siti Aisyah, 25, suspek wanita warga Indonesia yang ditahan polis berkaitan kes pembunuhan Kim Jong-nam tidak mengalami kesan seperti terkena racun.

Malah, katanya, Siti Sisyah dalam keadaan sihat dan boleh menjawab semua soalan.

Perkara itu disahkan Timbalan Konsulat Indonesia ke Malaysia, Andreano Erwin ketika berpeluang bertemu Siti Aisyah hampir 30 minit di Balai Polis Cyberjaya, di sini, hari ini.

Andreano berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi peluang bertemu Siti Aisyah.

Beliau berkata, pertemuan itu banyak menyentuh mengenai keadaan dan perkembangan kesihatan wanita itu.

"Secara fizikalnya, dia kelihatan sihat tapi kami tidak dapat pastikan sama ada mental dan emosinya terjejas," katanya ketika ditemui media di luar Balai Polis Cyberjaya, di sini, hari ini.

Katanya, Siti Aisyah turut menyampaikan pesan supaya ibu dan bapanya menjaga kesihatan.

Siti Aisyah dan seorang lagi suspek wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, adalah antara empat suspek yang ditahan berkaitan pembunuhan Jong-nam.

Suspek lain ditahan termasuk seorang lelaki pemegang pasport Korea Utara dikenali sebagai Ri Jong Chol, 47, dan seorang lelaki tempatan Muhammad Farid Jalaluddin yang juga teman lelaki Siti Aisyah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2017 @ 2:04 PM