Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Dua wanita yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam bakal dituduh di Mahkamah Majistret Sepang, di sini, esok.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika ditanya menerusi aplikasi WhatsApp.

"Pagi esok, Insya-Allah... di Mahkamah Sepang," katanya ringkas.

Selain itu, beliau turut mengesahkan sudah menerima kertas siasatan berhubung kes pembunuhan itu.

Pada 16 Februari lalu, dua wanita warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un.

Reman terhadap suspek warga Vietnam dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, serta warga Indonesia dikenali sebagai Siti Aisyah, 25, kemudian disambung tujuh hari dan tamat esok.

Terdahulu, pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu di Mahkamah Sepang, di sini, sejak jam 8 pagi kerana menyangkakan dua suspek terbabit akan dituduh hari ini.

Selain itu, pihak media turut menunggu di luar perkarangan Balai Polis Cyberjaya bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kes berkenaan.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu oleh dua wanita warga asing dengan menyembur sebelum menekup mukanya dengan cecair beracun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 12:18 PM
Doan Thi Huong dan Siti Aisyah akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang, esok. FOTO arkib NSTP
Doan Thi Huong dan Siti Aisyah akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang, esok. FOTO arkib NSTP