AKSI Kane meraikan jaringan bersama  Rose (kiri)  di London. - FOTO EPA
AKSI Kane meraikan jaringan bersama Rose (kiri) di London. - FOTO EPA
AFP

HARRY Kane menjaringkan gol pertamanya di stadium baharu Tottenham ketika Spurs bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Aston Villa 3-1, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, kapten England itu menghargai sumbangan Christian Eriksen yang mencetuskan impak selepas dimasukkan pada babak kedua bagi mengelakkan finalis Liga Juara-Juara musim lalu itu mengalami kejutan pada aksi pertama Liga Perdana.

Tottenham ketinggalan pada awal babak pertama menerusi jaringan John McGinn sehingga memaksa pengurus, Mauricio Pochettino memasukkan Eriksen ketika permainan berbaki 25 minit.

Masa depan pemain tengah Denmark itu tidak menentu selepas spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan ke Sepanyol dengan kontrak hanya berbaki setahun.

Bagaimanapun, Eriksen tetap mempamerkan komitmen tinggi dengan menambahkan lagi bisa serangan Spurs selepas tumpul pada babak pertama.

"Kami tahu dia mempunyai kualliti ketika mengawal bola, bantuan dan jaringannya,” kata Kane.

"Dia dapat mengesan tempo perlawanan dan bagi saya ia lengkap sekali gus memudahkan tugas saya menjaringkan gol.”

Eriksen memainkan peranan bagi membolehkan pemain baharu, Tanguy Ndombele menjaringkan gol pertama menerusi rembatan lencung 17 minit sebelum tamat perlawanan.

Hantarannya ditampan Davinson Sanchez namun berjaya ditolak keluar penjaga gol, Tom Heaton. Bola muntah itu pantas dimanfaatkan Ndombele dengan rembatan kencang ke penjuru kiri gawang Villa.

"Memasukkan Christian yang masih segar pada babak kedua meningkatkan kualiti serangan kami. Kami bercakap mengenai pemain berkualiti tinggi,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino yang mengakui ketumpulan jentera serangannya pada babak pertama.

"Kami melakukan banyak kesilapan pada babak pertama dan semua tak menjadi. Pada babak kedua kami berjaya memperbaikinya dan pergerakan bola lebih lancar. Sangat penting untuk menang aksi pertama.”

Villa menghabiskan £100 million (RM503 juta) dengan merekrut 12 pemain baharu pada musim panas ini bagi menyaingi pasukan lain dalam Liga Perdana selepas tiga musim di liga bawahan.

McGinn yang mendapat hantaran jauh bijak memperdayakan Danny Rose pada minit ke-9 sebelum merembat untuk meletakkan Villa di hadapan dan mereka hampir menambah gol tetapi kegopohan pemain baharu mereka, Trezeguet menyelamatkan gawang Spurs.

Tottenham meningkatkan asakan pada babak kedua namun tetap gagal mencari gol penyamaan sehinggalah kemasukan Eriksen menjadikan mereka lebih menyengat. Eriksen hampir menjaringkan gol namun sepakan percuma menariknya diselamatkan Heaton. Bagaimanapun, Heaton tewas apabila dia gagal menyelamatkan rembatan Kane empat minit sebelum tamat permainan untuk gol pertamanya di stadium baharu itu.

Kane melengkapkan kebangkitan Spurs pada minit akhir perlawanan dengan rembatan lencung ke penjuru kiri Villa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 7:43 AM