ANGGOTA pasukan penyelamat sedang mengusung mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ke hospital Sultan Imanuddin, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, hari ini. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA pasukan penyelamat sedang mengusung mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ke hospital Sultan Imanuddin, Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, hari ini. FOTO ihsan pembaca

Jakarta: Badan SAR Nasional (BASARNAS) mengesahkan sembilan jasad sudah dipindahkan manakala seorang lagi masih berada di kapal berikutan cuaca buruk.

Ketua BASARNAS, Bambang Soelistyo, berkata enam daripadanya sudah dibawa ke Surabaya, manakala dua lagi di Pangkalan Bun dan pihaknya akan menghantar jenazah berkenaan ke Surabaya malam ini manakala seorang lagi berada di KRI Yos Sudarso.

Soelistyo berkata, pasukannya masih menghadapi kesulitan untuk proses pemindahan mayat dengan gelombang setinggi empat meter di Laut Jawa.

"Keadaan cuaca pada hari ini tidak mengizinkan dan kita akan berdepan dengan keadaan ini sepanjang minggu ini, sehingga 4 Januari depan," katanya.

Mengulas lanjut, Soelistyo berkata, jenazah seorang penumpang yang berada di KRI Yos Sudarso itu disebabkan helikopter tidak dapat membawanya ekoran cuaca buruk.

"Kerana tidak dapat mendarat, mereka perlu beredar segera ekoran cuaca yang menghalang. Kita tidak dapat bawa satu lagi jenazah," katanya pada sidang media. - KOMPAS.COM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:59 PM