Benah hanya mengetahui anaknya ditahan selepas menonton televisyen. FOTO ihsan detikcom
Benah hanya mengetahui anaknya ditahan selepas menonton televisyen. FOTO ihsan detikcom
Detiknews

Kuala lumpur: Ibu Siti Aisyah, 25, yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, tidak tahu anaknya itu berada di Malaysia.

Benah, 50 berkata, apa yang dia tahu, anaknya itu menjual pakaian dalam di Batam, Indonesia.

Katanya, Siti Aisyah kali terakhir pulang ke rumahnya pada 21 Januari 2017 sebelum ke rumah bekas mentuanya di Tambora, Jakarta Barat.

"Pulang ke sini tanggal 21 Januari (2017). Selepas itu dia ke ke Jakarta Barat, ke rumah bekas mentuanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ranca Sumur, Serang, Banten, hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui anaknya ditahan di Malaysia selepas menonton televisyen.

Dalam pada itu, Siti Aisyah yang lahir di Serang, Jawa Barat dilaporkan datang ke Malaysia bersama suaminya, Gunawan Hasyim atau lebih dikenali sebagai Ajun untuk bekerja.

Pada 2012, pasangan itu bercerai kerana Siti Aisyah didakwa curang dan Ajun terus pulang ke Jakarta Barat.

“Dulu dia pernah bekerja di Malaysia dengan anak saya, tak lama selepas Neng (nama panggilan Siti Aisyah) melahirkan anaknya.

“ Saya lupa berapa tahun mereka di sana," kata bekas ibu mentua Siti Aisyah, Lian Kiong, 56.

Lian Kong atau lebih mesra disapa sebagai Akiong ditemui di kediamannya di Tambora, Jakarta Barat, kelmarin.

Sebelum bekerja di Malaysia, Ajun sudah bekerja di syarikat milik bapanya, Gang Kacang, yang terletak di Tambora, Jakarta Barat.

Siti Aisyah yang pada masa itu bekerja di syarikat yang sama menjalinkan hubungan cinta dengan Ajun selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Majlis perkahwinan sebelah perempuan turut diadakan di kampung halaman Siti Aisyah iaitu di Serang, Banten.

“Sekitar 2009 mereka dikurniakan anak yang dilahirkan di Serang.

“Anak itu kemudian diserahkan saya untuk dijaga,” katanya.

Berikutan perniagaan yang tidak berapa baik, Akiong mencadangkan Ajun dan Siti Aisyah pergi ke Malaysia mencari kerja.

Bagaimanapun, Akiong tidak tahu di mana lokasi kedua-kedua mereka bekerja di Malaysia.

“Saya tak tahu di mana (Malaysia). Yang saya tahu anak saya kerja di restoran dan dia beritahu saya Neng bekerja sebagai penjaga kedai,” katanya.

Beberapa tahun selepas bekerja di Malaysia, Ajun kembali ke Jakarta Barat, tanpa Siti Aisyah.

Menurut Akiong walaupun sudah bercerai dengan anaknya, Siti Aisyah pernah beberapa kali singgah ke rumahnya untuk melihat anaknya, Rio yang berusia tujuh tahun.

Kali terakhir Siti Aisyah bertemu Rio adalah pada 28 Januari lalu. Pada 2016, dia juga datang menjenguk anaknya pada Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 10:03 PM