HENDERSON (kiri) mahu Liverpool lebih konsisten.
HENDERSON (kiri) mahu Liverpool lebih konsisten.

Liverpool: Pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson memuji pengurus Brendan Rodgers ketika pasukannya meninggalkan 2014 yang tidak menentu dengan perlawanan pada tahun baru menentang Leicester City.

Selepas muncul naib juara Liga Perdana Mei lalu, Liverpool bergelut menyamai persembahan itu pada kempen semasa, sekalipun kemenangan 4-1 ke atas Swansea City awal pagi kelmarin menyemarakkan semula harapan berakhir dalam kelompok empat teratas.

Keputusan itu juga satu kelegaan buat Rodgers yang dikecam kerana pendekatannya ketika permulaan tidak konsisten Liverpool musim ini, namun pasukan itu kini kalah hanya sekali dalam tujuh perlawanan liga.

“Pengurus kami memang menakjubkan sejak beliau hadir di kelab ini,” kata Henderson. “Beliau bekerja keras bersama kami di padang latihan bagi memastikan kami bagus secara taktikal dan meningkat sepanjang masa.

“Terpulang kepada kami sebagai pemain mengamalkan apa yang dipelajari di padang dan pastinya kami melakukannya menentang Swansea. Hasil kerja keras kami berbaloi.

“Musim ini amat sukar buat setiap orang. Daripada menang setiap minggu, kami kemudiannya tidak menang selalu. Pengurus tetap sama. Beliau sering mencari jalan meningkatkan permainan kami di padang latihan.

“Jika kami terus bermain begitu, kami akan lebih konsisten dan meraih keputusan baik.”

Henderson membayangkan keyakinan tinggi di Anfield dan dengan persembahan konsisten mampu mencerahkan semula peluang layak ke Liga Juara-Juara sekali lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:24 AM