HENDERSON kapten Liverpool. FOTO AFP
HENDERSON kapten Liverpool. FOTO AFP
AFP

JORDAN Henderson menggesa Liverpool menunjukkan keazaman mereka mempertahankan gelaran Liga Perdana ketika menentang Arsenal dalam aksi Perisai Komuniti malam esok.

Selepas lima minggu kapten Liverpool, Henderson menjulang trofi Liga Perdana, skuad Jurgen Klopp membuka tirai musim baharu dalam aksi 'glamor' di Wembley.

Ketika misi mempertahankan gelaran mereka hanya bermula pada 12 September, The Reds mahu memberi amaran awal kepada pencabar mereka.

Henderson tahu pemenang Piala FA, Arsenal mampu mengecewakan hasrat Liverpool untuk memburu lebih banyak trofi selepas juara bertahan itu tewas 1-2 di Stadium Emirates, musim lalu.

Mereka kembali ke kem latihan di Austria dan pemain tengah England itu berpuas hati dengan sikap dan semangat ditunjukkan rakan sepasukan setakat ini.

"Kami benar-benar bekerja keras, musim baharu, permulaan baharu dan banyak lagi perlu dicapai,'' kata Henderson dalam laman web kelab.

"Saya sangat teruja menunggu apa yang kami dapat lakukan musim ini, satu lagi musim besar. Harap kami dapat membawa keyakinan musim lalu tetapi kami perlu kekal 'lapar' dalam misi memburu kemenangan.

"Saya dapat melihatnya sejak hari pertama kami menjalani latihan pramusim.''

Klopp pula belum membuat sebarang pembelian utama dan mereka kembali menyambung permusuhan dengan Manchester City, pasukan berbelanja mewah Chelsea dan skuad muda dinamik Manchester United.

Tetapi Henderson yang pasukannya menamatkan kedudukan dengan 18 mata di hadapan City di tangga kedua tidak meragui Liverpool mampu memenuhi hasrat penyokong mereka musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 12:36 PM