BUAH-BUAHAN, bahan semula jadi digunakan sebagai ramuan penyental untuk harumkan badan.
BUAH-BUAHAN, bahan semula jadi digunakan sebagai ramuan penyental untuk harumkan badan.
MANDI bunga memberi kesegaran berpanjangan kepada wanita.
MANDI bunga memberi kesegaran berpanjangan kepada wanita.
Siti Zarinah Sahib


Penat, badan kurang bermaya dan tekanan di tempat kerja. Bagi anda yang mempunyai semua masalah berkenaan, ia memberikan isyarat tubuh memerlukan rehat manakala minda perlu ditenangkan seketika daripada kesibukan seharian.

Antara rawatan yang mampu memberikan kelegaan dengan mengunjungi spa dan rawatan dari hujung rambut hingga kaki. Ini kerana alunan muzik mendamaikan dan bauan herba memberikan ketenangan tatkala badan diurut pakar terapi.

Menurut pemilik Teratak Spa di Bangi Sentral, Nurlaily Ezzaty Mohd Yusoff, 26, wanita moden masa kini melakukan dua tugasan serentak iaitu pekerja di pejabat serta menjadi ibu dan isteri di rumah. Untuk itu, mereka memerlukan belaian memanjakan tubuh di spa.

“Bagi wanita yang inginkan ketenangan, spa ini menyediakan urutan Swedish menerusi bauan aromaterapi. Urutan ini khas untuk mereka yang ingin melegakan tekanan selepas penat bekerja.

“Bagi mereka yang terbiasa dengan urutan tradisional boleh merasai kepakaran jari-jemari pakar terapi mengoles lembut tubuh sambil memberikan tekanan kepada bahagian tertentu seperti tulang belakang dan bahagian badan yang lain.

“Urut tradisional lebih kuat dan sama seperti urutan selepas bersalin. Banyak kebaikannya termasuk membuang angin, melancarkan peredaran darah, melembutkan urat serta menjadikan tubuh cergas dan bermaya,” katanya yang mencadangkan wanita melakukan urutan sekali dalam sebulan bagi mendapatkan kesan maksimum.

Selesai urutan, pelanggan boleh melakukan lulur badan dan sental menggunakan strawberi, betik atau kopi. Jika wanita pada zaman dulu menggunakan rempah- ratus yang berbau, tetapi menerusi bahan penyental buah-buahan dan bahan semula jadi, ia meninggalkan haruman pada badan.

“Sejak memperkenalkan bahan semula jadi ini untuk lulur dan sental, ramai menyukainya. Ini kerana ia meninggalkan aroma wangi pada badan. Selain itu, ia dapat melembutkan kulit serta menjadikan badan lebih segar dan bermaya,” katanya.

Selepas enak tubuh dibelai dan dimanja, pelanggan boleh memilih mandi bunga bagi mendapatkan aura berpanjangan. Cempaka, melur dan mawar antara bunga yang mempunyai haruman dan aura tersendiri.

“Banyak keistimewaan mandi bunga. Ini kerana aura bunga itu sendiri sangat kuat dan mampu memberikan kesegaran kepada tubuh. Wajah lebih berseri dan mengekalkan tenaga dalaman,” katanya.

Spa yang dibuka menggunakan konsep francais sejak tahun lalu menyediakan semua perkhidmatan diperlukan wanita.

Spa ini juga menggunakan pakar terapi terlatih dan berpengalaman dalam bidang urutan. Selain urutan dan lulur, ia menyediakan rawatan rambut bermasalah seperti kelemumur dan rambut gugur menggunakan limau purut yang dikisar.

“Selain menyelesaikan masalah kelemumur dan rambut gugur, limau purut dapat memberikan haruman semula jadi pada rambut pelanggan,” katanya yang sejak kecil sudah memasang impian ingin menjalankan perniagaan suatu hari nanti.

Meminati bidang kecantikan, Nurlaily tidak terburu-buru dalam menentukan jenis perniagaan sebaliknya memilih konsep francais kerana lebih selamat. Ini kerana dia tiada pengalaman dalam bidang ini, justeru menerusi konsep francais, dia hanya perlu beroperasi mengikut ketentuan pengasasnya.

“Dari segi pemasaran, ramai mengenali spa ini dan ia tidak menjadi masalah bagi saya melakukan promosi. Apa yang diperlukan adalah mengukuhkan nama spa ini di Bangi dan kawasan sekitarnya,” katanya yang mengharapkan 2017 membawa sinar kejayaan dalam perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 5:50 AM