SAUNA dan urutan bagi mereka yang mahukan pakej lengkap rawatan kecantikan badan.
SAUNA dan urutan bagi mereka yang mahukan pakej lengkap rawatan kecantikan badan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Susunan batu sungai di sepanjang tangga sebelum memasuki spa berkenaan sedikit sebanyak mempengaruhi tafsiran kedamaian dan ketenangan pengunjung, apatah lagi jika ia kali pertama dikunjungi.

Di ruang bahagian dalamnya pula, ada ruang untuk salun rambut, rawatan lelaki dan wanita secara berasingan. Walaupun Jentayu Spa & Salon dibuka kepada pengunjung lelaki dan perempuan, ada satu ruang khas yang sengaja diwujudkan oleh pemiliknya, Esma Azura Masrol, 39.

Ruang di bahagian belakang itu disediakan untuk pengunjung wanita saja bagi melakukan rawatan dengan selesa tanpa perlu berasa malu dengan kehadiran pengunjung lelaki.

“Saya lakukan pembahagian itu bagi memudahkan pengunjung wanita mendapatkan rawatan kecantikan dengan lebih selesa.

“Ruang untuk lelaki pula dibuka bagi memberi peluang kepada suami yang menghantar isteri mereka mendapatkan rawatan rambut, kaki dan tangan serta urutan di bahagian kaki, belakang badan atau kepala,” katanya.

Spa yang baru dibuka Januari lalu di Taman Bukit Teratai, Ampang itu menonjolkan konsep tradisional, namun masih mengekalkan dekorasi kontemporari di bahagian salun rambut.

Menariknya, semua urusan spa berkenaan dikendalikan anak sulungnya, Esrina Syahira Syahrin, 18, yang begitu meminati bidang spa dan kecantikan bagi memberi peluang kepada dirinya mengembangkan bakatnya.

Terdapat pelbagai pakej rawatan lengkap yang disediakan kepada pengunjung bermula daripada rambut hinggalah ke kaki seperti jakuzi, mandian ais, susu atau bunga, muka, kaki, tangan dan badan.

Antara pakej istimewa di sini ialah wanita selepas bersalin yang mengandungi rawatan mandian, melulur, mengurut dan bertungku. Kebiasaannya, urutan selepas bersalin digemari kerana ia membantu membuang angin dalam badan dan melancarkan peredaran darah menggunakan minyak khas.

Turut disediakan tukang urut mahir yang mengunjungi rumah pelanggan dengan membawa sendiri perkakas dan ramuan yang diperlukan.

Di dalam pakej berkenaan, tukang urut menyediakan mandian daripada air rebusan herba seperti serai wangi, daun lengkuas dan daun kaduk untuk memberi kesegaran kepada tubuh.

Selepas itu, badan dilulur dengan bahan sentalan yang dibuat sendiri daripada garam dan herba seperti halia serta manjakani bagi membantu membuang angin dan toksin dalam badan di samping menanggalkan sel kulit mati.

Selesai badan dilulur, pelanggan diurut menggunakan kaedah tradisional. Selain itu, pelanggan juga akan merasai kesegaran tubuh dengan bertungku yang dilakukan selepas urutan.

Pada masa sama, tukang urut mahir memakaikan bengkung dengan cara betul dan menyediakan air minuman yang mengandungi air rebusan akar kayu bersama ibu kunyit bagi membantu mengempiskan perut.

“Biasanya, pakej berkenaan dilakukan pada hari ketiga selepas bersalin. Rawatan berkenaan berlanjutan selama lima hari berturut-turut di rumah pelanggan.

“Saya menyediakan pakej lengkap ini kerana begitu mementingkan tempoh berpantang bagi wanita lepas bersalin kerana ia membantu mengembalikan kesegaran kepada tubuh.

“Ia berdasarkan pengalaman sendiri ketika berpantang. Ketika itu, saya dijaga dengan begitu teliti oleh arwah nenek yang juga bidan dan masih mengingati pesannya mengenai kebaikan berpantang sehingga ke hari ini,” katanya.

Selain wanita bersalin, individu yang mahu melegakan tekanan dan keletihan juga sesuai mendapatkan urutan tradisional di spa berkenaan.

Spa berkenaan turut menyediakan mandi ais untuk membantu memberikan kesihatan dalaman. Ia sesuai dilakukan bagi individu yang mempunyai masalah dalaman atau halusinasi selain menaikkan seri wajah.

Mandian berkenaan menggunakan garam kasar, ais dan tujuh pati bunga berbeza untuk membantu mengembalikan aura positif serta seri wajah.

Lebih menarik apabila spa berkenaan banyak menggunakan produk sendiri seperti minyak urutan, krim pelangsing badan dan gel mandian menerusi pakej rawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 2:26 PM