RAWATAN mandi aura bunga yang istimewa.
RAWATAN mandi aura bunga yang istimewa.
Hajahfarhana Tarmudi


Berkunjung ke spa bukanlah sekadar memanjakan diri semata-mata, namun ia juga bertujuan mendapatkan kulit cantik dan membantu mengatasi masalah kecantikan yang dialami.

Ia tidak memberikan kesan segera, sebaliknya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mendapatkan rambut, kulit hinggalah bahagian dalaman yang sihat terutama jika banyak menggunakan bahan berasaskan sumber semula jadi.

Selain menghilangkan keletihan, kunjungan ke spa juga sedikit sebanyak membantu mengembalikan semangat dan keyakinan diri selepas berehat seketika daripada kesibukan harian.

Lebih menenangkan jika spa yang dikunjungi itu memperdengarkan alunan muzik santai dan disempurnakan dengan haruman mendamaikan bersama hamparan cahaya lampu yang samar.

Begitulah juga konsep yang cuba diterapkan di spa ini yang menampilkan gabungan konsep tradisional dan moden bersama dekorasi sederhana serta selesa.

Jika dilihat sekali imbas, Sureanggun Spa yang terletak di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor dan beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang ini tiada beza dengan spa lain.

Spa ini menawarkan rawatan kepada pengunjung bermula daripada rambut hingga ke hujung kaki. Di sebalik pakej lengkap yang disediakan khusus untuk Muslimah itu, terdapat rawatan istimewa yang ditawarkan di sini iaitu mandi aura bunga aromaterapi.

Menurut pemilik spa, Rahayu Ramli, rawatan mandi aura bertujuan membuang unsur negatif yang ada dalam badan kepada lebih positif.

“Pada masa sama, ia juga membantu memberi kesegaran pada wajah dan tubuh. Mandi aura bunga ini sebaiknya dilakukan sewaktu bulan penuh atau pada tarikh 14 atau 15 dalam bulan Islam.

“Rawatan ini sesuai untuk bakal pengantin atau individu yang sering berasa kurang bersemangat dan selalu tidak sihat seperti sakit badan.

“Ini kerana aura pada bunga dan air yang sudah dibacakan doa serta zikir tertentu akan membantu menyingkirkan aura negatif yang ada dalam badan,” katanya.

Jelasnya, satu ketika dulu, mandian ini menggunakan tujuh jenis bunga berbau wangi, namun pada masa kini agak sukar mendapatkan bunga berkenaan.

Kini, mandi aura menggunakan kelopak bunga ros dan wangian pati bunga-bungaan, limau purut serta daun pandan sebagai penambah wangi semula jadi bersama bacaan doa serta zikir.

“Bagi saya jika ada yang mengatakan mandian ini sebagai mengarut, jangan teruskan rawatan. Namun, jika anda sukakan bau wangi untuk membangkitkan ‘mood’ bolehlah mencuba.

“Ia tidak menggunakan unsur syirik dan boleh saja mandi dengan cara berendam dan jangan sesekali memikirkan untuk mendapatkan sesuatu seperti bakal suami atau harta benda, itu memang salah.

“Anggap rawatan ini sebagai cara untuk membantu mendapatkan kesegaran tubuh sebagai salah satu ikhtiar. Ini kerana pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada bahan yang digunakan seperti limau purut berfungsi mengurangkan masalah bau badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 1:10 PM