Notis arahan tutup ditampal pada pintu premis makanan yang didapati tidak bersih. - Foto NSP (Fail)
Notis arahan tutup ditampal pada pintu premis makanan yang didapati tidak bersih. - Foto NSP (Fail)

Kuala Lumpur: Wabak demam kepialu (tifoid) akan diisytiharkan tamat jika tiada kes baru dilaporkan dalam tempoh tiga minggu lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini berikutan demam kepialu masih terkawal selepas kes terakhir dilaporkan pada 16 Oktober lalu.

“Sekarang sudah tiga minggu (berlalu). Kalau tiga minggu lagi tiada kes baru, maka wabak itu terkawal dan 'outbreak' ini tamat," katanya pada sidang akhbar sempena Op Kepialu Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 60 kes demam kepialu dilaporkan di sekitar Lembah Klang setakat semalam iaitu 42 kes di Kuala Lumpur dan 18 kes di Selangor.

Beliau berkata hasil siasatan awal menunjukkan kes-kes berkenaan mempunyai sejarah mengambil makanan atau minuman di sekitar ibu negara termasuk Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian dilaporkan sejak peningkatan kes luar biasa dikesan bermula awal Ogos lalu.

Beliau berkata 1,054 premis makanan diperiksa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Daripada pemeriksaan itu 267 premis ditutup kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih manakala 247 kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan Kebersihan

Makanan 2009 atau Undang-undang Kecil DBKL.

Katanya 4,326 pengendali makanan diperiksa terdiri daripada 2,349 warga Malaysia manakala 1,977 bukan warganegara.

"Seramai 749 daripada mereka tiada bukti pelalian mencegah tifoid yang sah laku iaitu 222 adalah warganegara dan 527 bukan warganegara," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 10:24 PM