BERNAMA

Kuala Lumpur: CyberSecurity Malaysia (Cybersecurity) mencatatkan 3,921 kes membabitkan penipuan dalam talian tahun lalu, berbanding 3,257 kes pada 2015.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata, penipuan dalam talian adalah kes paling banyak dilaporkan membabitkan keselamatan siber di Malaysia bagi tempoh lima tahun.

"Penipuan itu membabitkan pembelian barangan dalam talian, urus niaga perbankan internet, phising dan scam.

"Cybersecurity menerusi Pusat Koordinasi Cyber999 juga mendapati penjenayah siber turut melakukan penyebaran malicious software atau 'malware' dan pencerobohan data maklumat yang boleh merosakkan sistem komputer serta menggugat keselamatan data peribadi individu atau sesebuah organisasi," katanya.

Beliau yang berkata demikian selepas merasmikan sambutan "Safer Internet Day 2017' anjuran Cybersecurity di Angkasapuri di sini, hari ini, meminta orang ramai melaporkan sebarang kejadian jenayah siber dengan segera kepada Cybersecurity.

Mengenai Safer Internet Day, Madius berkata sempena sambutan Safer Internet Day yang diadakan setiap Februari, beliau meminta menyeru pengguna menggunakan internet sebagai platform pengumpulan ilmu berguna.

Menurutnya, kini menjadi kebiasaan kepada pengguna mentularkan sesuatu perkara tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan maklumat dan ia adalah perkara serius yang harus diberi

perhatian semua pihak.

“Komuniti yang aktif dalam internet dan media sosial harus memastikan hanya berita sahih disebarkan, bukannya berita palsu yang mampu memberi kesan buruk untuk jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 12:45 PM