Ipoh: Jenayah ekonomi membabitkan penyamaran identiti dan penipuan kad kredit menyebabkan Malaysia kerugian RM15.7 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, berkata, 587 kes membabitkan kes penyamaran identiti dilaporkan kepada pihak berkuasa dengan anggaran kerugian RM14.9 juta.

“Manakala kegiatan phishing dan penipuan kad kredit menyebabkan kerugian RM845,000 untuk tempoh sama selain 10,636 kes insiden keselamatan siber dilaporkan pada tahun lalu saja,” katanya.

Beliau memaklumkan Internet sepatutnya menawarkan peluang baru dalam memperluaskan ekonomi dan peluang perniagaan, namun salah guna data peribadi dikhuatiri boleh melumpuhkan ekonomi, tahap kompetitif dan inovasi.

“Menangani ruang siber yang komplikated kini menjadi keutamaan kepada kerajaan di bawah MOSTI,” katanya ketika pelancaran Anugerah, Persidangan dan Pameran Cyber Security Malaysia (CSM-ACE) di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

CSM-ACE adalah persidangan tahunan industri itu yang menjadi program inovatif terbesar berkaitan keselamatan maklumat yang diusahakan agensi MOSTI, CyberSecurity Malaysia (Cybersecurity).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM