PERHATIAN perlu diberi kepada anak yang bersosial di internet.
PERHATIAN perlu diberi kepada anak yang bersosial di internet.
AKSES kepada kelucahan dalam Internet.
AKSES kepada kelucahan dalam Internet.
KANAK-kanak boleh menjadi mangsa siber.
KANAK-kanak boleh menjadi mangsa siber.
PENDIDIKAN mengenai Internet perlu diperkasarkan.
PENDIDIKAN mengenai Internet perlu diperkasarkan.
Oleh Afiq Hanif


Internet yang menjadi platform untuk mengetahui segala maklumat di dunia ini bukan saja memberi impak positif, tetapi turut dijadikan tempat untuk melampiaskan penipuan.

Sikap pengguna Internet yang kurang berhati-hati dan mudah percaya terhadap apa yang dipaparkan serta suka memaparkan segala maklumat peribadi dan rahsia diri di laman sosial antara faktor menyebabkan kes penipuan siber terus meningkat di negara ini.

Alam siber kini membuka ruang besar kepada penjenayah atau pembuli maya kerana capaian Internet yang luas dan melepasi sempadan.

Sebelum ini, bahaya Internet hanya tertumpu kepada penyebaran e-mel palsu sehingga terdapat kajian menunjukkan lima e-mel yang diterima oleh seseorang individu di negara ini, satu daripadanya berpotensi mempunyai unsur penipuan.

Kini, masalah Internet bukan pada kes Nigerian scam iaitu kononnya mewarisi harta yang banyak dan ingin diserahkan kepada bakal mangsa dengan syarat dikenakan bayaran dengan kadar peratusan tertentu.

Skopnya sudah meluas terutama apabila pengguna Internet di Malaysia cukup aktif dalam media sosial.

Jika dulu serangan komputer membabitkan aspek teknikal seperti serangan virus, tetapi kebanyakan serangan dalam komputer sekarang membabitkan manusia yang memanipulasi elemen tamak, kurang kesedaran atau tidak tahu, takut dan mudah percaya.

Penjenayah siber buat penyelidikan terlebih dulu sama seperti kaedah untuk menarik orang menjadi keldai dadah, dia bukan lakukan dalam satu hari, kadangkala dua hingga tiga tahun bagi mangsa jatuh cinta dan mempunyai kepercayaan tinggi terhadap mereka sebelum mula memasang perangkap.

Sebab itu, program seperti ‘Safer Internet Day’ (SID) yang dianjurkan di seluruh dunia seharusnya menjadi platform terbaik bagi meluaskan minda rakyat Malaysia mengenai keselamatan Internet di negara ini.

Kali ini SID 2016 dianjurkan CyberSecurity Malaysia (CSM) yang berupaya memberi impak positif kepada pengguna Internet.

SID mula dianjurkan pada tahun 2004 oleh InSAFE European Union (EU) yang berpangkalan di Brussels, Belgium.

Sambutan SID diadakan pada Februari setiap tahun bagi mempromosi keselamatan Internet, memupuk serta meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya kanak-kanak dan remaja mengenai kepentingan keselamatan Internet.

Naib Presiden Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Jangkauan CSM Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad berkata, memandangkan pengguna Internet di Malaysia terus menjadi mangsa penipuan dan kecurian identiti maklumat peribadi kerana kekurangan pengetahuan mengenai keselamatan siber, pihaknya ingin memastikan SID 2016 dipandang serius pengguna Internet di negara ini.

“Ia sekali gus menjadikan mereka lebih bertang­gungjawab apabila menggunakan teknologi dan aplikasinya serta gajet digital seperti telefon pintar serta tablet,” katanya.

Pada setiap tahun, SID disambut di lebih 100 negara di seluruh dunia manakala di Malaysia sambutan SID mula diadakan pada tahun 2010 dengan dipacu CSM.

“Lazimnya pada setiap sambutan SID, pelbagai program serta aktiviti mengenai keselamatan siber dan kesejahteraan internet dianjurkan CSM dengan kerjasama rakan strategik yang turut melestari agenda keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Katanya, Malaysia perlu memandang serius terhadap isu terutama untuk memupuk serta meningkatkan kesedaran pengguna Internet, khususnya kanak-kanak dan remaja mengenai kepentingan keselamatan siber.

“Pada masa sama, ia memberi pendedahan kepada pengguna Internet mengenai tatacara serta kaedah penggunaan Internet secara positif dan selamat,” katanya.

Selepas itu menurut Mustaffa, ia berupaya membina budaya penggunaan Internet dan teknologi secara berhemah dan beretika.

SID juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber dan Internet bersesuaian dengan slogan CyberSAFE (program kesedaran keselamatan siber inisitiaf CSM) iaitu ‘Sentiasa Bijak Sentiasa Selamat’.

Tahun ini dengan tema ‘Play Your Part For A Better Internet’, pengguna Internet disaran memainkan peranan mereka sebagai pengguna lebih beretika dan bertanggungjawab.

“Sekiranya mereka mempunyai pemahaman serta pengetahuan mengenai keselamatan Internet maka mereka perlu menggunakan sepenuhnya ilmu yang dimiliki dengan bertindak sebagai penggerak atau peneraju bagi mewujudkan persekitaran siber yang selamat lagi kondusif,” kata Mustaffa.

Dari statistik Pusat Bantuan Cyber999, CyberSecurity Malaysia pada tahun 2015, insiden keselamatan siber yang paling banyak dilaporkan pengguna Internet adalah penipuan ‘online’ seperti ‘fraud’ dan pencerobohan dengan masing-masing mencatatkan 2,960 serta 1,646 kes.

Jumlah keseluruhan insiden yang dilaporkan sebanyak 9,420 kes.

Setiap ibu bapa perlu memahami istilah kawalan siber atau ‘cyberparenting’ dalam kalangan anak mereka yang merujuk kepada penguasaan literasi digital selaras dengan dunia dan budaya digital yang menjadi kebiasaan generasi kini.

Usaha itu penting bagi mengelak golongan itu terutama yang masih kecil terjebak ke dalam aktiviti negatif alam maya dan bukannya mengalihkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berkuasa untuk mencegah.

Ia kerana tidak adil meletakkan semua bebanan kepada pihak berkuasa untuk memantau kandungan Internet terutama aplikasi negatif sedangkan ia boleh dicegah ibu bapa di peringkat awal melalui peranan cyberparenting itu.

Jika peranan itu dapat dipikul, penggunaan Internet sebagai alat pendidikan, alat produktiviti dan platform sosial yang berguna untuk anak pasti dapat dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:02 AM