Ismail Sabri menyampaikan ucapan ketika mesyuarat Asean-Rusia yang dihadiri Putin pada Sidang Kemuncak Asean Ke-38 dan Ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan secara persidangan video hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan ucapan ketika mesyuarat Asean-Rusia yang dihadiri Putin pada Sidang Kemuncak Asean Ke-38 dan Ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan secara persidangan video hari ini. Foto Bernama
Saiful Haizan Hasam

Kuala Lumpur : Ancaman keganasan, ekstremisme dan jenayah siber yang semakin meningkat perlu diberi perhatian setara dengan sektor kesihatan dan ekonomi dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia kerana ada pihak yang mengambil kesempatan daripada peningkatan penggunaan perkhidmatan dalam talian semasa pandemik untuk menyebarkan ideologi dan melakukan jenayah siber.

Menurutnya, untuk tujuan itu Asean boleh memanfaatkan kepakaran Rusia dalam teknologi digital.

"Malaysia komited untuk menyumbang usaha dalam aspek ini melalui Southeast Asia Regional Centre for Counter-Terrorism dan Cybersecurity Malaysia.

"Cybersecurity Malaysia juga merancang untuk menganjurkan inisiatif Pembangunan Profesional Keselamatan Digital dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Asean.

"Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan keupayaan keselamatan siber untuk mengurangkan ancaman siber di rantau ini. Malaysia mengharapkan sokongan Rusia terhadap program berkenaan," katanya yang berucap pada Sidang Kemuncak Asean-Rusia Ke-4 yang berlangsung melalui persidangan video hari ini.

Sidang Kemuncak Asean-Rusia turut disertai Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, menuju ke arah pemulihan pasca pandemik, Asean dan Rusia perlu menjadikan dokumen yang diterima pakai hari ini sebagai perkara yang dilaksanakan secara konkrit dan pantas.

Dengan cara itu, kata Perdana Menteri, kerjasama perdagangan dan pelaburan Asean-Rusia dapat diperkukuh sekali gus memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi Asean.

"Selain itu, Asean dan Rusia harus meningkatkan perkongsian untuk merangkumkan kepelbagaian rantaian bekalan, transformasi digital, ekonomi digital dan ketersambungan dan sains, teknologi dan inovasi.

Majlis Perniagaan Asean-Rusia juga mesti memainkan peranan yang lebih proaktif.

"Memandangkan kedudukan Malaysia yang kukuh dalam sektor pembuatan, Malaysia bersedia untuk menyumbang ke arah memperkukuh pembuatan pintar dan penyedia penyelesaian menyeluruh bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan di rantau ini," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mengucapkan tahniah kepada Rusia kerana menghasilkan vaksin Sputnik yang banyak membantu usaha memerangi wabak Covid-19.

"Malaysia percaya Asean dan Rusia harus bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan diagnostik dan rawatan Covid-19, pembuatan dan pengedaran vaksin, keselamatan biologi dan perkongsian pengetahuan dan kepakaran teknikal mengenai teknologi genetik molekul dalam pengawasan penyakit berjangkit.

"Kerjasama ini akan membantu rantau ini lebih bersedia untuk menghadapi darurat kesihatan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:31 PM